Khamis, 13 September 2012

Taubat Seorang SKINHEAD - "Ana Sudah Berubah!!"


Interview Bersama Megat ACAB (disember 2009) - "Ana Sudah Berubah!!" - pedoman untuk skinhead dan semua!!

OI! OI! ANDA INGAT LAGI BAND INI??

HAH! KALAU INGAT, MESTI KENAL BRADER NI!!

 mastika/ disember/ 2009


“Fitnah! Itu Fitnah! Wallahi ana tak
pernah hina Nabi Muhammad”

Oleh: Mohd. Nazirul Afiq Ismail

“GENG, kalau lu nak tau most of skinhead kat Malaysia ni rata-ratanya memang influence dengan band ACAB. Megat ACAB antara orang awal yang jadi pelopor skinhead ni. Carilah Megat!”

Begitulah antara suara-suara yang sering saya dengar semasa dalam proses menyiapkan artikel tentang skinhead untuk dimuatkan dalam Mastika pada bulan lepas.

          Agak sukar sebenarnya untuk mendapat contact Megat. Menurut sumber kenalan, Megat menghilangkan diri. Ramai kenalan penulis menyatakan Megat sudah tidak mahu bergelumang dengan dunia skinhead lagi.

Yang paling menarik lagi ada yang menyatakan Megat sudah berubah. Berubah menjadi ‘Pak Arab’. Megat sudah memakai jubah dan serban. Penulis tepuk dahi. Benarkah dakwaan mereka ini?

Setelah melakukan carian dalam talian Google dalam Internet, dakwaan ini benar! Megat pernah ditemu bual oleh wartawan Melodi, Michelle Yeoh. Memang jelas Megat sudah berjubah. Alhamdulillah!

          Dengan keizinan Tuhan, pada suatu petang di bulan Syawal penulis dapat menemu bual Megat Hafiz, 30, penyanyi utama kumpulan streetrock ataupun Oi! ini.

Lokasinya di sebuah restoran Arab yang terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Megat datang lengkap berjubah dan berserban.

Wah, penulis sekali lagi tertanya-tanya adakah transformasi Megat ini sekadar imej luaran sahaja?

Bukan setakat berjubah sahaja, lokasi yang ditetapkan untuk berjumpa membangkitkan persoalan tersebut. Tak mengapa. Biarlah persoalan ini menjadi kesimpulan selepas habis sesi temu bual nanti.

          Penulis terus bertanya pada Megat sejak bila berubah? Pastinya masyarakat di luar sana mahu mengetahui.


..kalau dia mention Mags atau Max
memang ana dah saman!” - Megat ACAB

 “Ana berubah sebab terlalu banyak sangat fitnah dan tohmahan yang ana terima. Macam-macam fitnah sampai kata ana murtadlah, antiagamalah dan macam-macam lagi.

You tahu, ana nyaris saman Mastika bila keluar artikel pasal ana pertengahan 2006. Nasib baik reporter tu letak Mads, kalau dia mention Mags atau Max memang ana dah saman!” ujar Megat bersungguh-sungguh.

Namun, Megat bersyukur, disebabkan segala tohmahan dan fitnah inilah dia berubah.

Sebenarnya ada satu peristiwa yang berlaku membawa Megat kembali ke pangkal jalan. Kejadian itu berlaku pada tahun 2007. Suatu hari Megat diajak seorang rakannya bersembahyang di sebuah masjid.

 “Kemudian kawan ana ini sudah baca satu ayat. Rupa-rupanya ayat ini adalah ayat dari kitab Al-Attaz di mana sudah menjadi amalan keluarga ana sejak beratus tahun yang lalu. Sejak dari situ ana sedar. Mengapa ana tidak ikut ajaran Islam yang menjadi ikutan keluarga ana beratus tahun?” cerita Megat.

Satu lagi kejadian menginsafkan berlaku ke atas diri Megat. Suatu
hari seorang kenalan Megat menghadiri majlis ilmu tasawuf di Jenderam Hilir membawa pulang poster beberapa gambar ilmuwan Islam.

“Ana terkejut, antara gambar poster itu adalah datuk saudara ana sendiri,” beritahu Megat.

Selepas dua peristiwa itulah, Megat mula berminat mahu mendalami ilmu agama.

“Semenjak dari hari itu hinggalah sekarang ana sudah mula belajar kembali mengenal Tuhan dan diri ana…” cerita Megat bersungguh-sungguh.

Bagaimana pula dengan skinhead? Penulis terus mengasak soalan. Bagaimana dengan budaya yang pernah ‘dibawa’ Megat sehingga menjadi fenomena remaja kita suatu ketika dulu dan menjadi permainan media sehingga dikatakan budaya skinhead ini menjadi racun terutama remaja Melayu kita.

Skinhead dah tidak ada apa-apa lagi perjuangan yang relevan dengan ‘working class’. It is more worthy jihad for our religion either than anything else.

“Pada ana, skinhead kini sudah menjadi fesyen. Ramai teman ana sudah tidak lagi bersama skinhead. Ada tu memang ada. Tapi pakaian sudah casual.

“Macam ana sendiri sekiranya The ACAB ada invitation ana main juga, but tetap pakai, tapi jubah pakai jugalah. Secara personal semangat skinhead ana masih ada, mana boleh hilang setelah ana adalah antara orang terawal yang bawa ke sini.

..Ana sudah buang tatu,
di tangan, dada." - Megat ACAB
“Bayangkan selama 13 tahun, skinhead sudah pasti menjadi sebahagian diri ana. Tapi segala prinsip yang syirik dan bertentang dengan agama telah ana tinggalkan! Of course skinhead is a cult, but skinhead is not a religion. Tatu pun ana sudah buang!” jelas Megat lagi.

Megat mengakui dia takut apabila suatu hari kelak dipertanggungjawabkan kerana pernah membawa pengaruh skinhead pada budak-budak remaja di Malaysia.

“Pernah ada seseorang menuding jari pada ana memberitahu dia menjadi skinhead sebab ana. Ana mengaku kesilapan ana,” ujar Megat lagi.

Menurut Megat, dia menjadi budak skinhead ketika masih berumur belasan tahun.

“Ketika itu budak-budak lagi, umur 14-15 tahun jadi skinhead. Pada peringkat umur ana begini, apa sangatlah yang ana fikir. Kami mencari imej.

“Dari sudut muzik, pada zaman tu rock kapak dah jadi rock leleh, banyak kumpulan muzik yang jiwang muncul. Nak ikut scene itu dah tak boleh. Leleh!

“Kami sebagai remaja pada zaman itu dahagakan rock bertenaga, dari situlah sebenarnya sejarah ACAB bermula. Kami berjuang untuk lifestyle baru, desperately wanting something new for that time. To create and build a new scene, skinhead,” terang Megat.
MEGAT HAFIZ bersama ACAB long years ago!! No.2 dari kanan.
  Ketika itu ACAB yang dipelopori Megat membawa banyak anjakan pada industri hiburan.
“Dalam situasi yang amat lembap di pasaran, kami boleh jual album standing artis-artis arus perdana seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi. Mana ada artis skinhead di luar sana macam kita. Malaysian skinhead is a rock scene,” katanya.

Bagaimana pula dengan budaya skinhead yang suka bergaduh? Mengapa ada tergamak sampai membu…

“Ana tak nafikan pada zaman ana memang ada pergaduhan. Cara kami bergaduh gentle, pakai tangan saja. Tapi lepas ideologi Nazi datang, makin banyak pula kes bergaduh sampai tikam-tikam ni. Mengapa?

Skinhead bukan dipecahkan dengan banyak cabang TRAD, S.H.A.R.P (Skinhead Anti Rasis), Nazi ataupun R.A.S.H. (Skinhead Anarki Merah). Skinhead adalah satu.

“Ana tak nafikan kami pernah meletakkan logo SHARP dalam album kami. Tujuan kami adalah untuk memberitahu yang kami bukanlah skinhead yang rasis, kerana rata-ratanya mengaitkan skinhead dengan white power.

“Kalau di Malaysia sudah tentu Malay power. Disebabkan terlalu banyak kekalutan itu yang menyebabkan pergaduhan yang sia-sia. Kerana terlampau banyak sangat pergaduhan yang kadang-kadang membawa kematian menyebabkan ana tinggalkan scene. Kerana disebabkan suatu ideologi yang tak cukup kuat,” jelas Megat kesal.

Penulis hanya mengangguk tanda setuju. Penulis terus mengasak persoalan pada Megat yang kononnya dahulu dikatakan pernah membuat kenyataan anti-Rasulullah s.a.w. Ada juga spekulasi mengatakan Megat melakar tulisan No Muhammad untuk ditatukan pada tangannya.

Ternyata Megat amat terkejut dengan spekulasi ini dan menurutnya itulah suatu pembohongan yang besar.

“Fitnah! Ini fitnah! Wallahi ana tak pernah membuat kenyataan sedemikian. Nak buat apa ana membenci datuk ana sendiri? I think you are talking about someone else... tipu semua tu.” Megat dengan tegas menyangkal dakwaan tersebut.

Tak mengapa Megat, bila seseorang ada nama sudah tentu ada pihak yang tak berpuas hati dan membuat macam-macam spekulasi. Tapi bagaimana pula pandangan Megat bila melihat dunia skinhead ini setelah ditinggalkan? Bagaimana dengan pengikut Megat yang ditinggalkan ini?

Megat terfana sebentar apabila penulis bertanyakan soalan sedemikian. Beberapa ketika kemudian Megat memandang penulis.

“Seperti yang ana nyatakan tadi, ana melakukan kesilapan. Ana tersilap apabila terlalu dedahkan perkara yang negatif pada mereka. Ana shoot gambar ana dengan tatu.

“Penyudahnya ramai yang mencacah tatu. Ada yang mencacah tatu penuh satu badan. Ada juga yang minum arak dengan selamba di tempat terbuka. I admit, I make mistake!

          “Melalui Mestika, dengan ini ana menyeru pada skinhead teruskanlah berskinhead, skinheadlah selagi mau, tetapi tinggalkanlah perkara-perkara yang syirik.

“Perjuangan di sisi Islam itu lebih bermakna. Sudah tiada apa lagi perjuangan dalam skinhead. Ana juga sedang dalam pembikinan untuk menerbitkan album qasidah (syair dalam bahasa Arab).

“Tapi projek ini baru saja bermula. Mungkin ini salah satu cara ana dapat menebus kembali kesilapan ana kerana ana bermula semuanya dengan muzik,” terang Megat.

Baguslah begitu Megat, sekurang-kurangnya ada juga usaha daripada anda untuk menjernihkan kembali perkara yang keruh. Sebelum menamatkan pertemuan kami petang tersebut, penulis bertanyakan padanya bagaimana kehidupannya sehari-hari selepas berubah.

Megat menyatakan secara rohani kehidupannya lebih tenang, damai. Alhamdulillah, Megat juga mengajak rakan-rakan yang mahu menyertainya menghadiri majlis zikir setiap hari Ahad di Masjid al-Bukhary, Bukit Bintang.

Sebelum berpisah, Megat turut berpesan pada penulis: “Tulis benda baik-baik ya…”

Insya-Allah Megat, kami dari meja Mastika juga mendoakan agar Megat teruskan usaha mengenal Allah s.w.t. dan menjadi hamba-Nya yang soleh.

 Insya-Allah… marilah bersama-sama kita berdoa semoga remaja kita yang tersesat di hujung jalan, berpatah balik ke pangkal jalan.

penulis bersama Megat..
(garang sangat muka tu bro!! :P)



KLthugs: Ini artikel koleksi arkib penulis pada tahun 2009. Lama tak contact Megat, apa cerita The ACAB? Dengar cerita kawan-kawan yang join tabligh, Megat dah sampai Syria sebar dakwah?? Wahh...!!




1 ulasan:

  1. alamak bila baca terus mcm nak cari balik mana tah demo cd acab.. Peminat tegar acab dulu siap ikut style megat sikat rambut belah tepi.. Belajar main gitar pun sebab acab.. Kenangan betul :)

    BalasPadam