Jumaat, 21 September 2012

Malcom X : The Part of Autobiography of Malcolm X


AJARAN-AJARAN Islam telah melekat dalam diriku. Pembawaan dan pergaulanku yang cepat akrab, memudahkan aku melaksanakan tugas sebagai pendakwah yang penuh dedikasi. Aku tahu, Elijah Muhammad memerlukan bantuan seseorang untuk menyebarkan ajaran Islam, juga untuk mendirikan pusat ibadah di pelbagai tempat bagi 22 juta kaum Negro di Amerika Utara. Setelah Elijah yakin dengan kemampuanku berdakwah, aku disuruh pergi ke Boston menemui Llyod X. Dia mengundang orang-orang yang tertarik dengan Islam untuk mendengar ceramahku di rumahnya yang terletak di Nombor 5, Wellington Street.

Setiap kali pertemuan, jumlah orang yang hadir sentiasa bertambah kerana beberapa di antaranya membawa teman mereka.Tiga bulan kemudian, kami mendirikan pusat ibadah yang tidaklah terlalu besar. Aku turut gembira melihat wajah-wajah yang tenang setiap kali pertemuan. Aku pun dengan bangga memberitahu alamat pusat ibadah yang baru kepada Elijah.

Apabila kami mendirikan masjid kecil, kakakku, Ella, turut mendengar ceramahku untuk kali pertama. Dia begitu menaruh perhatian seolah-olah tidak percaya bahawa adiknya sedang berbicara di hadapan khalayak yang hadir. Matanya bagaikan terpaku terus menerus menatap ke arahku. Apabila aku bertanya, silakan berdiri bagi sesiapa yang percaya dan yakin, dia turut bangun seperti khalayak yang lain. Sebelum ini aku memang tidak pernah menyedarkan Ella, sebab sesiapa pun tahu, dia seorang yang keras kepala. Aku tahu, tidak seorang pun yang mampu mempengaruhi Ella, kecuali Allah s.w.t.

Selalunya setiap kali sebelum pertemuan berakhir, aku akan menutupnya dengan membaca doa mengandungi puji-pujian kepada Allah, memohon petunjuk dan bimbingan agar kami diberi kekuatan untuk terus berada di jalan yang benar.Kemudian aku akan mengangkat tangan sebagai tanda salam perpisahan, sambil berkata, “Jangan lakukan apa-apa terhadap orang lain yang tidak tertarik dengan apa yang anda lakukan. Ciptakan perdamaian, jangan sekali-kali menunjukkan sikap bermusuhan. Tetapi apabila seseorang menentang anda, jangan gentar, kerana kami tidak pernah mengajar anda menjadi pengecut. Semoga Allah memberkati anda sekalian, dan semoga berjaya dalam setiap apa yang anda kerjakan.”

Daripada pengalaman sebagai pendakwah, peraturan dan disiplin ketatlah yang menyebabkan beberapa golongan keberatan mengikuti ajaran-ajaran Islam. Dalam hal ini, aku tetap bertegas dan mempertahankannya demi menegakkan moral dalam Islam. “Memang selama ini kulit putih menghendaki kita kulit hitam untuk terus hidup di dalam situasi tidak bermoral, tidak suci dan tetap dibelenggu kebodohan. Apabila kita secara terus menerus hidup dalam keadaan seumpama itu, kita akan terus menerus pula minta dikasihani, dan mereka dengan mudah mengatur kehidupan kita. Akibatnya, kita tidak akan pernah mendapatkan kebebasan, keadilan, dan juga persamaan hak, tanpa kita berbuat sesuatu untuk diri kita sendiri.”

Menjelang tahun 1956, jemaah Muslim berkembang dengan pesat. Kami menggabungkannya dengan pelbagai kegiatan lain seperti pendidikan akademik, ketrampilan serta perdagangan, dan kadang-kadang kami juga mencuba melakukan pekerjaan yang sering dilakukan oleh golongan kulit putih. Kami mampu menjadikan mereka sebagai pelayan yang memiliki sopan santun, dan ada juga di antara mereka yang menjadi jururawat, kerani, dan jurujual.

Apa yang membanggakan, mereka adalah pelapis pendakwah yang agresif dan berdedikasi. Pada waktu-waktu berikutnya, aku semakin jarang tidur, dalam upaya untuk meningkatkan iman dan ketakwaan agar dapat mengembangkan ajaran Islam. Elijah memberikan kebenaran untuk aku membeli sebuah kereta Chevrolet bagi memudahkan aku bergerak mencari anggota jemaah Muslim baru dan melawat masjid. Dalam waktu lima bulan, aku berjaya menempuh jarak sejauh 30,000 km sebelum mengalami kemalangan. Kereta kami dilanggar dari arah belakang sewaktu berhenti di lampu isyarat dan mujurlah aku dan kawanku tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mengenai pergaulanku dengan wanita yang bukan muhrim, aku selalu bersikap berhati-hati. Pengabdianku terhadap Islam benar-benar murni, tanpa didasari oleh keinginan yang bermacam-macam terhadap wanita. Dengan demikian, aku selalu berusaha menjelaskan bahawa perkahwinan tidak pernah mengusik hatiku, apapun alasannya. Aku terlalu sibuk, sehingga tidak ada waktu memikirkan hal itu. Aku tahu, selalu sahaja ada keluhan yang disampaikan kepada Elijah mengenai sikapku yang tegas terhadap perbezaan yang terdapat pada lelaki dan wanita.

Namun, aku mempunyai alasan tersendiri, mengapa aku tidak ingin mencintai wanita. Pengalaman mengajarku, wanita itu ‘makhluk yang penuh tipu daya’, suka berbohong dan sukar dipercayai. Aku sering menyaksikan bagaimana seorang lelaki terpaksa mengabdi, mengikatkan diri kepada seorang wanita, dan kadang-kadang bergantung sepenuhnya kepada wanita. Selain itu, wanita adalah makhluk yang banyak berbicara, seperti anak ayam tanpa paruh. Bagaimanapun, jauh di sudut hatiku, aku tetap menghargai wanita sebagaimana aku menghargai ibuku yang juga seorang wanita yang telah melahirkan aku.

Hampir semua Muslimat di Temple Seven berpendapat bahawa sebaik-baik Muslimin tidak akan menikah seperti halnya diriku. Namun, aku membantah kata-kata mereka, dan mengatakan persoalan menikah atau tidak hanyalah persoalan yang bersifat peribadi. Dalam gabungan Muslimat yang hadir di Temple Seven, terdapat seorang wanita yang aku perhatikan tanpa maksud lain sehingga setahun lamanya.

Dalam tempoh setahun juga, aku baru mengetahui namanya Betty X, penduduk asal Detroit. Dia telah menyelesaikan pendidikannya di Tuskegee Institute, kemudian meneruskan pengajian dalam bidang kejururawatan di New York. Tenaganya kemudian digunakan untuk mengajar tentang kesihatan dan ilmu ubat-ubatan di kelas khas, khusus untuk wanita-wanita Muslim. Biasanya aku bertanya bagaimana dengan kelasnya, dan dia akan menjawab, “Tidak ada masalah.” Aku membalas pula, “Terima kasih.” Hanya itulah hubungan kami. Seorang anggota Muslimat akhirnya memberitahuku siapakah sebenarnya Betty X. Aku sangat terkejut dengan dugaan yang terpaksa ditempuhinya. Sebelum menjadi Muslim, pendidikannya dibiayai oleh keluarga angkatnya. Setelah dia memeluk Islam, keluarga tersebut menyuruhnya membuat pilihan, meninggalkan Islam atau tidak lagi membiayai pengajiannya. Betty memilih Islam sebagai agamanya dan dia terpaksa bekerja sebagai penjaga atau pengasuh bayi beberapa doktor di hospital tempat dia menjalani latihan kerja.Aku mula merasakan hanya Betty yang sesuai dengan diriku jika aku berkahwin. Apabila Betty diundang menemui Elijah, terus Elijah mengatakan padaku bahawa Betty adalah wanita yang ‘menyenangkan’. Aku berfikir dua kali sebelum melakukan tindakan selanjutnya.

Dalam perjalanan ke Garden State Parkway, aku singgah di stesen minyak untuk mengisi minyak keretaku. Aku menelefon Betty di asramanya. Dia yang menyambut panggilanku, terus mengatakan, “O… Hello, Mr!” Lalu tanpa membuang waktu, aku segera melontarkan pertanyaan, “Apakah kamu tidak ingin menikah?”

Aku yakin dia pasti terkejut tetapi aku anggap bahawa itu salah satu cara wanita menerima pinangan seorang lelaki. Jawapan sudah pasti kuduga, “Ya!” Aku pun segera berkata kepadanya, “Saya tidak mempunyai banyak masa. Segeralah kamu tempah tiket penerbangan ke Detroit.” Aku memang mahu ke sana kerana ingin mengunjungi Wilfred yang menjadi pendakwah di Detroit’s Temple One.

Kepada Philbert yang berada di Lansing, aku memberitahunya bahawa aku akan mengahwini Betty. Kami sudah menjalani ujian darah dan telah mendapat kelulusan. Kami pun segera pergi ke pejabat Urusan Perkahwinan dan perkahwinan kami pun berlangsung secara rasmi. Malamnya, kami rayakan perkahwinan itu di rumah Philbert.

Berita perkahwinan kami benar-benar mengejutkan semua orang di Temple Seven. Tidak habis-habis Betty dikatakan telah merampas aku sedangkan aku tidak pasti daripada siapa kata-kata itu bermula. Itulah salah satu sifat wanita yang tidak aku fahami. Tetapi mungkin benar juga, Betty telah ‘merampas’ perhatianku.

Pada November 1958, lahirlah anak perempuan kami yang pertama, yang kami namakan Attilah The Hun (Hun adalah nama Rome). Anak kedua kami, Qubilah lahir pada hari Krismas 1960. Anak yang ketiga, Ilyasah lahir pada Julai 1962. Pada tahun 1964, Amillah (disebut juga Gumillah), anak keempat kami dilahirkan.

Aku menyayangi Betty dengan sesungguhnya kerana dialah satu-satunya wanita dalam hidupku dan paling aku percayai. Dia seorang Muslimah dan isteri yang baik bagi diriku, memahami siapa diriku. Kerelaannya melepaskan aku pergi merata-rata tempat untuk berdakwah demi menegakkan syiar Islam, amat mengharukan. Selalu aku berkata kepadanya bahawa tiada wanita lain dalam hidupku selain dirinya.

Kami terus mengecap kebahagiaan. Suara kami mulai didengari meskipun sorotan media terhadap kegiatan kami tidak meluas.

Aku berjumpa editor James Hicks dari Amsterdam News yang berpangkalan di Harlem. Hicks bersetuju membantu kami dan sedia memuatkan tulisanku dalam ruangan khusus yang kemudiannya diganti dengan tulisan Elijah. Kemudian selepas itu, aku mendapat peluang di tempat lain, menulis di dalam kolum akhbar milik Negro, The Los Angeles Herald Dispatch. Kemudian kami menerbitkan akhbar Muhammad Speaks dan menjualnya di sekitar kaki lima.

Pada akhir tahun 1959, televisyen menyiarkan forum di dalam rancangan “The Hate” (Kebencian). Kenapa rancangan itu dinamakan “The Hate”? Ia adalah tidak lebih daripada gambaran imaginasi yang mengerikan. Perbincangan kami menimbulkan banyak reaksi. Ratusan daripada ribuan penduduk New York, baik kulit hitam mahupun kulit putih saling berteriak-teriakan, kononnya khutbah yang mengandungi kebencian terhadap golongan kulit putih telah dilancarkan. Sedang Elijah, aku, dan pembicara lain cuba menyedarkan, membangkitkan kefahaman penuh dengan rasa jujur.

Di kalangan kaum Negro sendiri, ada yang menganggap Negro yang tidak mahu bergabung dengan kulit putih sebagai “Negro gila”. Mereka mengatakan Negro yang menjadi Muslim merupakan gambaran daripada Negro gila tersebut. Mereka mengatakan bahawa kami sebagai kaum yang memutar belit sejarah nenek moyang, orang yang menjadi bahan tawaan dengan doktrin Islam yang kuno, kaum Heretic yang membenci Kristian, dan sebagainya.

Namun, aku yakin bahawa Allah adalah Maha Pencipta di atas segala-galanya. Dia yang lebih mengetahui setiap apa yang ada di alam ini, juga segala yang berada di dalam tubuh dan pemikiran makhluk-Nya. Keyakinan itulah yang aku pohon dapat kupertahankan sehingga nyawaku bercerai daripada badan. Syiar Islam akan terus aku gemilangkan di tengah-tengah masyarakat yang semakin hanyut dalam arus dunia yang setiap waktu tidak pernah mengenal mangsa.

CATATAN:

Malcolm X lahir pada 19 Mei 1925 di North Omaha, Nebraska, Amerika Syarikat. Beliau juga dikenali dengan nama El-Hajj Malik El-Syabazz. Meninggal dunia pada 21 Februari 1965 dalam usia 39 tahun, ditembak (16 das peluru singgah ke tubuhnya) oleh pembunuh upahan ketika sedang berucap di Manhattan Audubon Ballroom, Washington Heights, New York City. Disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital New York’s Columbia Presbyterian. Ketika meninggal dunia itu, isterinya, Betty X, sedang sarat mengandung. Malcolm X tidak sempat melihat kelahiran anak kembarnya, Malaak dan Malikah.

Di dalam autobiografinya, beliau menyatakan keterharuannya yang begitu mendalam dan benar-benar merasakan dirinya amat kerdil di hadapan Allah apabila menyaksikan lautan manusia daripada pelbagai bangsa yang pelbagai pula warna kulitnya berupaya ‘bersatu’ di hadapan Kaabah – catatan itu ditulis daripada pengamatannya ketika mengerjakan ibadah haji di Kota Suci Mekah pada April 1964, setahun sebelum beliau meninggal dunia.

(Terjemahan daripada buku The Autobiography of Malcolm X) 

Sumber: dayak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan