Ahad, 19 Februari 2012

Bahan Dalam Kunyit Boleh Cegah Penyakit Alzheimer




LONDON 16 Feb. - Sekumpulan saintis di Sweden menemui sejenis bahan yang terkandung dalam kunyit mampu membantu mencegah penyakit Alzheimer atau nyanyuk di kalangan warga emas - satu lagi sebab untuk kita menyenaraikan bahan tersebut dalam menu harian.
Kajian yang diketuai Profesor Per Hammarstrom dari Universiti Linkoping dilakukan terhadap lalat buah yang mempunyai masalah saraf yang sama dengan penyakit kemerosotan neuro.
Lalat tersebut diberi ekstrak kunyit dan didapati curcumin, iaitu bahan aktif yang terdapat dalam rempah tersebut mampu memanjangkan jangka hayatnya sehingga 75 peratus.
Alzheimer dikaitkan dengan ikatan protein dalam otak dipanggil plak amyloid, yang berfungsi merosakkan pendawaian dalam sel otak.
Kajian yang disiarkan dalam jurnal PLoS One, membuktikan mengapa kadar nyanyuk di kalangan warga emas di India kurang berbanding dengan masyarakat Barat.
Beberapa penyelidikan yang dijalankan sebelum ini juga menunjukkan Alzheimer hanya menyerang kurang satu peratus masyarakat berumur lebih 65 tahun di beberapa perkampungan di negara itu.
Melalui pengambilan curcumin, saintis mendapati plak amyloid yang terdapat pada otak atau mata serangga tersebut tidak berkurang, namun ia berupaya memacu formasi fiber saraf dengan mengurangkan jumlah bahan yang menyebabkan Alzheimer, yang dipanggil oligomer daripada terbentuk.
"Keputusan tersebut mengesahkan kepercayaan kita selama ini bahawa oligomer sangat berbahaya kepada sistem saraf," katanya.
Beberapa teori mengesahkan bagaimana oligomer bertindak memulakan proses penyakit Alzheimer. Menurut satu hipotesis, ia terperangkap pada persimpangan saraf menyebabkan signal impuls tersekat.
Curcumin bukan sahaja baik untuk mencegah nyanyuk, malah beberapa kajian sebelum ini membuktikan ia membantu menentang jangkitan kuman dan serangan jantung, mencegah trombosis serta kanser. - AGENSI

malaysiaria

Tiada ulasan:

Catat Ulasan