Sabtu, 21 Januari 2012

Dihalang Berenang Sebab Tutup Aurat

Dihalang Renang tutup Aurat

Seorang ayah kecewa apabila hasrat dua anaknya menyertai pertandingan renang dianjurkan Persatuan Renang Amatur Selangor di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Seksyen 13, di sini, terbantut semata-mata pakaian renang berlandaskan syariat Islam.

Muhammad Abdullah, 36, berkata, kekecewaannya turut dikongsi ibu bapa 20 peserta lain berumur antara 8 dan 12 tahun itu yang didakwa penganjur melanggar peraturan ditetapkan Persekutuan Renang Antarabangsa (Fina).

Menurutnya, ketika pertandingan renang Kejohanan Sukan Selangor (Sukses) berlangsung dari 13 hingga 15 Januari lalu, dia bersama isteri, Anis Harnisah Haron, 33, berada di China atas urusan perniagaan.

“Pada hari ketiga pertandingan itu, isteri yang menghubungi anak perempuan Anis Zakiah yang berusia 9 tahun terkejut mendengar tangisan sebelum dimaklumkan bahawa dia dan abangnya Abdullah Fateh berusia 12 tahun tidak dibenarkan menyertai pertandingan.

“Anis dan Fateh sudah menghabiskan banyak masa untuk memberi saingan dalam pertandingan itu, tetapi mereka sangat kecewa apabila tak dibenarkan bertanding hanya atas sebab pakaian renang,” katanya.

Beliau lebih terkenal dengan gelaran Ustaz Amin serta Timbalan Pengerusi Yayasan Al-Ijabah berkata, dia menghubungi jurulatih renang anaknya, Mohd Bukhari Ibrahim, 34, yang kemudian memaklumkan 20 peserta beragama Islam turut mengalami nasib sama.

Ustaz Amin yang kesal dengan perkara itu berkata, dia memang menggalakkan sukan renang kepada 80 anak yatim di bawah jagaan Yayasan Al-Ijabah.

“Mereka selama ini sudah diajar supaya berpakaian mengikut syariat Islam walau di mana pun berada, takkanlah tiba-tiba nak suruh buka aurat pula,” katanya.

Ustaz Amin berkata, beliau sudah mengajukan isu terbabit kepada Pengerusi Majlid Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan pihak Mais berjanji menyelesaikannya.

“Saya juga akan bertemu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid untuk berbincang mengenai perkara ini. Mungkin juga saya akan bawa isu ini untuk perhatian menteri belia (Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek),” katanya./
paapaada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan