Rabu, 7 Disember 2011

Spesis Ikan Terkecil Di Dunia Ditemui


Spesis Ikan Terkecil Di Dunia Ditemui Di Terengganu

DUNGUN – Spesis ikan paling kecil di dunia, ‘Paedocypris’ dari keluarga ‘Cyprinidae’ dengan saiz 7.8 milimeter ditemui di kawasan paya Bukit Bauk, di sini.


Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Azmi Nordin berkata ikan tersebut ditemui semasa ekspedisi Bukit Bauk yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia 2006.
“Beberapa ekor ikan dari famili Cyprinidae itu, spesis ikan paling kecil di dunia, ditemui di kawasan ini,” katanya kepada Bernama di sini, Selasa.
Azmi berkata berdasarkan kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), ikan tersebut tidak terdapat di tempat lain termasuk di luar negara setakat ini.
Beliau berkata pihaknya sedang mengambil langkah untuk membiak ikan itu supaya tidak pupus dan mungkin dijadikan daya tarikan pelancong pada masa akan datang.
Menurut Azmi buat masa ini pihaknya belum dapat menunjukkan ikan itu kepada umum kerana dibimbangi ada pihak yang akan mencarinya dan dijual dengan harga yang tinggi.
Lagipun, katanya, kawasan ikan itu ditemui terdedah kepada pengunjung dan besar kemungkinan orang akan tertumpu ke situ sekiranya kawasan itu dihebahkan.
“Ini satu aset untuk negeri dan jika ia pupus, rugilah,” katanya.
Beliau berkata selain itu, Bukit Bauk seluas 7,596 hektar juga mempunyai pelbagai khazanah berharga seperti pokok-pokok bunga yang masih belum dieksploitasi sepenuhnya. – BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan