Rabu, 9 November 2011

Boleh Tutup Telefon Bimbit Berdering Ketika Bersolat...


SOLAT memerlukan tumpuan kerana apabila perhatian terganggu, ia mampu mengurangkan pahala solat. Sebab itu Islam amat menitik beratkan persoalan persediaan sebelum solat termasuk menetapkan hati yang tenang serta memakai pakaian bersih.
Persediaan juga mengambil kira mengelak daripada perkara yang boleh mengganggu solat seperti kerap berlaku sekarang ini, bunyi deringan telefon bimbit. Perkara ini penting kerana bunyi deringan telefon itu boleh mengganggu solat kita serta jemaah lain.
Deringan bunyi telefon terkadang menghasilkan lagu dan bunyi yang jelas mampu menghalang jemaah terus khusyuk ketika solat sedangkan khusyuk satu tuntutan penting dalam solat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menghalang sahabat memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dengan nyaring ketika orang lain sedang solat.

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW apabila pergi ke masjid untuk beriktikaf dan Baginda mendengar al-Quran dibaca secara kuat, Baginda berkata: “Setiap kamu bercakap secara rahsia dengan Allah, maka janganlah mengganggu yang lain atau meninggikan suara melebihi orang lain apabila membaca al-Quran (atau apabila bersolat).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadis, jika al-Quran juga dilarang diperdengarkan kerana boleh mengganggu solat, apatah lagi bunyi deringan telefon. Sudah tentu dilarang dan sebab itu wajib bagi ingin menunaikan solat menutup telefon bimbit sebelum melakukan solat sama ada bersendirian atau berjemaah.

Namun persoalan berbangkit, bagaimana jika kita terlupa menutupnya sebelum bersolat dan telefon berdering. Adakah kita perlu menghentikan solat, menggerakkan anggota tubuh untuk mematikan telefon bimbit atau membiarkan saja telefon terus berdering.

Jawapan paling tepat di sini ialah mematikan telefon tanpa membatalkan solat. Maksudnya, orang yang sedang solat dibenarkan bergerak sedikit anggota badan lalu menutup telefon itu. Pergerakan ini dibenarkan dalam solat kerana maslahah menjaga khusyuk solat lebih besar daripada terus membiarkan telefon berbunyi sepanjang kita bersolat.

Persoalan ini termasuk dalam perbahasan hukum pergerakan dalam solat. Perbuatan tidak termasuk dalam perbuatan solat jika dilakukan dengan banyak maka ia terbatal tetapi jika dalam kuantiti sedikit membabitkan anggota kecil, maka dibolehkan.

Cuma di sini, ulama berselisih pandangan mengenai ukuran banyak atau sedikit. Dalam mazhab Syafie, jika dilakukan melebihi tiga kali dan secara berturutan maka ia membatalkan solat.

Namun bagi Imam an-Nawawi, ia turut mendatangkan contoh pergerakan yang sedikit seperti memberi isyarat ketika menjawab salam, melepaskan serban atau meletakkannya, menggosok lendir yang terlekat di baju dan lain-lain lagi.

Banyak juga keterangan hadis menceritakan pergerakan Nabi SAW dan sahabat ketika sedang solat kerana maslahah tertentu. Contohnya, pergerakan Nabi SAW memegang telinga Ibnu Abbas untuk memindahkannya daripada sebelah kiri ke sebelah kanan Baginda.

Pergerakan yang banyak ini sudah dijelaskan oleh Ibn Battal bahawa inilah maslahah digunakan Nabi SAW dalam memelihara solatnya daripada terganggu.

Begitu juga kisah Nabi SAW sendiri pernah solat dalam masjid sambil mendukung cucunya Umamah. Apabila rukuk, Baginda akan meletakkan cucunya di bawah dan apabila bangun, Baginda akan mendukung cucunya kembali.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebahagian cendekiawan Islam menolak dalil pergerakan Nabi SAW sebagai hujah untuk membolehkan kita mematikan telefon bimbit ketika solat kerana kata mereka ia khusus kepada Nabi SAW. Bahkan ada sebahagian mengatakan pergerakan dilakukan Nabi SAW itu boleh jadi tidak dilakukan secara berturut-turut melebihi tiga kali.

Namun, pendapat mereka masih tidak kukuh disebabkan ada juga sahabat melakukan pergerakan yang banyak apabila terdapat maslahah mendesak. Di samping itu, tiada jaminan Nabi SAW tidak bergerak melebihi tiga kali berturut.

Bahkan ia adalah perkara ijtihadiyyah Imam Syafie yang memang terkenal sebagai imam yang amat berhati-hati dan menjaga kesempurnaan solat. Ini suatu yang baik jika kita ingin mengambil pendekatan Imam Syafie.

Bagaimanapun, dalam kes mematikan telefon, ini keperluan mendesak. Ia boleh dikategorikan sebagai pergerakan yang wajib dilakukan ketika solat kerana larangan mengganggu jemaah lain yang sedang solat adalah wajib.

Oleh itu, perbuatan mematikan telefon dimasukkan dalam perbahasan yang sama seperti keharusan bergerak untuk membunuh binatang buas yang mengancam. Ia diqiyaskan kepada hadis Nabi SAW yang mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil ketika solat.

Diriwayatkan: “Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan supaya membunuh dua binatang buas walaupun ketika solat iaitu kala jengking dan ular (jika ia menghampiri ketika solat).” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Justeru, dapat difahami bahawa wajib bagi seseorang untuk mematikan bunyi telefon bimbitnya kerana ia merosakkan ketenangan orang yang sedang solat, seperti mana bahayanya kala jengking dan ular.

Namun pergerakan itu mestilah dibatasi supaya tidak terlalu melampau sehingga melambangkan seolah-olah tidak ada perbezaan antara orang yang melakukan solat dan orang belum mengerjakan solat.

OLEH MUHAMMAD ASYRAF


Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis



Tiada ulasan:

Catat Ulasan