Selasa, 25 Oktober 2011

Awasi iklan 'memancing' !!!

SEBUAH pusat kecantikan dan penjagaan kulit menawarkan rawatan muka secara percuma. Tetapi bila seorang wanita berkunjung ke premis itu bagi mendapatkan tawaran percuma yang dimaksudkan itu, beliau dihujani perunding dengan tawaran pembelian pelbagai produk kecantikan.

Seorang lelaki yang berlebihan berat badan memberikan maklum balas beliau terhadap satu iklan mengenai "kursus menguruskan badan percuma" yang dikeluarkan satu pusat kecergasan tetapi bila beliau bertemu dengan pakar runding di situ, lelaki tadi diberitahu betapa gemuknya diri beliau dan dinasihati membeli pakej melangsingkan badan.

Sepasang suami isteri tertarik dengan tawaran percutian percuma di satu resort tempatan. Bila mereka hadir pada sesi penerangan, pasangan itu seolah-olah "dipaksa" kakitangan pemasaran di situ untuk membeli satu pakej percutian "perkongsian masa".
Situasi di atas adalah beberapa contoh tentang apa yang dikenali sebagai "iklan berbentuk umpan atau memancing".

APAKAH IKLAN BERBENTUK UMPAN?
Menurut aktivis konsumer Amarjeet Singh, iklan berbentuk umpan adalah satu penawaran yang tidak jujur untuk menjual sesuatu perkhidmatan atau produk sedangkan pengiklan memang tahu bukan barangan itu yang mahu dijualnya.
"Tujuannya bagi menarik pelanggan untuk membeli barangan lain yang selalunya akan dijual pada harga yang lebih tinggi dibandingkan dengan produk yang diiklankan dan ini adalah untuk kepentingan pihak pengiklan," kata beliau.

Amarjeet berkata, tujuan sebenar iklan sebegini adalah untuk memancing pelanggan agar membeli barangan yang serupa seperti yang di dalam iklan.
Katanya lagi ia adalah satu perkara biasa bagi syarikat penerbangan menawarkan tiket penerbangan yang rendah harganya tetapi bila dicampur cukai dan caj-caj yang lain bayaran yang dikenakan akan meningkat.

HARGA MURAH
"Kadangkala, ada iklan tentang sesuatu produk seperti televisyen yang diiklankan pada harga yang murah, tetapi bila pelanggan mahu membelinya penjual akan mengatakan semua unit barangan tersebut telah habis dijual bagaimanapun masih ada dalam stok televisyen lain yang lebih mahal harganya.

"Perkara sama juga boleh berlaku bila anda mencari apartmen untuk disewa.
Ejen akan menyatakan apartmen yang anda mahu sudah diambil orang tetapi masih ada apartmen lain yang lebih kecil tetapi lebih mahal," kata beliau.
Amarjeet juga menasihati warga pengguna supaya berhati-hati akan tawaran biasiswa atau yuran pengajian yang dibiayai sepenuhnya oleh beberapa kolej swasta.

"Kemudian barulah anda sedar bahawa ada terma dan syaratnya seperti keperluan terhadap Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang minimum," kata beliau.

"Waspada juga terhadap penjual yang memberitahu anda tentang barangan yang diiklankan telah kehabisan stok tetapi masih ada cuma ia kini adalah sebahagian dari pakej peralatan yang anda tidak perlukan," kata beliau.

SAH DI SISI UNDANG-UNDANG
Bagaimana iklan "memancing atau berbentuk umpan" ini tidak menyalahi undang-undang melainkan pengguna dapat membuktikan pengiklan mempunyai niat untuk menipu, kata beliau.

"Perlu menghalusi terma dan syarat dalam sesuatu iklan. Perhatikan pada syarat yang ditetapkan dan peka pada perkataan yang memberi gambaran tentang barangan itu tidak ada dalam stok bila anda mahu membelinya. "Pengguna juga harus peka pada perkataan "dari". Barangan dan perkhidmatan yang diiklankan mungkin murah, tetapi menurut iklan harga tersebut "mula dari..." kata Amarjeet.

"Contohnya, syarikat perkhidmatan jalur lebar akan mengiklankan harga "mula dari"... tetapi untuk mendapatkan kelajuan jalur lebar yang lebih cepat dan megabit yang lebih tinggi pelanggan terpaksa mengambil pakej di mana caj adalah lebih tinggi," kata beliau.

Amarjeet menasihati pengguna agar berhati-hati bila ditawarkan harga murah untuk sesuatu barangan. Lagi menarik harga yang ditawarkan itu, lagi perlu pengguna berwaspada terhadap iklan berbentuk memancing.

Katanya lagi, walaupun barangan tertentu yang diiklankan masih ada dalam stok tidak salah bagi pihak penjual jika dia cuba menarik pelanggan membeli produk lain yang lebih mahal.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan