Ahad, 11 September 2011

Perhatian : Matikan Enjin Kenderaan Anda Sebelum Keluar Kereta Sebabnya...

 
Dua budak nyaris diculik

PONTIAN – Gara-gara tidak mematikan enjin kenderaan ketika berhenti membeli kuih di tepi jalan, seorang ibu muda nyaris kehilangan dua anak perempuannya apabila seorang lelaki tiba-tiba melarikan kenderaan tersebut di Pekan Nenas, di sini.

Bagaimanapun dia bernasib baik kerana kenderaan yang dipandu lelaki warga Nepal itu terbabas lalu merempuh tembok asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd Yunos Sulaiman, kira-kira 800 meter dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, kejadian berlaku pada jam 1.30 tengah hari kelmarin ketika wanita berusia 30-an itu berhenti membeli kuih tanpa mematikan enjin kenderaan jenis pacuan empat rodanya kerana dua anaknya berada di dalam.

“Tiba-tiba seorang lelaki warga Nepal menaiki kenderaan tersebut dan melarikannya dengan kedua-dua anak wanita itu yang berusia 9 dan 11 tahun berada di dalamnya,” katanya,

Menurut beliau, menyedari kenderaan dan kedua-dua anaknya dilarikan, wanita berkenaan cuba mengejar dengan menaiki kereta orang awam yang melalui jalan berkenaan.

“Bagaimanapun ketika sampai di hadapan asrama sekolah, kenderaan yang dipandu lelaki itu gagal dikawal lalu merempuh tembok sekolah berkenaan. Dia ditahan orang ramai yang berada di tempat kejadian,” katanya.

Zahaliman berkata, kedua-dua kanak-kanak itu selamat dan diserahkan kepada ibu mereka yang sampai ke tempat kejadian sejurus selepas itu.

“Lelaki tersebut yang mengalami kecederaan ringan akan disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya ketika melakukan perbuatan tersebut, lelaki berkenaan berada dalam keadaan mabuk.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memberhentikan kenderaan dan pastikan enjin kenderaan dimatikan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini./Sinarharian


 Entri yang patut Anda lihat :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan