Selasa, 31 Mei 2011

Lynas: Apa Yang Perlu Anda Tahu

View Image 
Sebagai seorang ayah kepada 3 orang anak yang masih kecil, menjadi tanggungjawab saya untuk melindungi mereka walaupun terpaksa berkorban nyawa. Saya rela mati untuk tujuan itu. Sebagai seorang Hamba dan Khalifah di bumi Allah ini, saya merayu belas ihsan dan redha dari Allah sebelum saya pergi menemuinya. Selagi Nafasku di Kandung Badan, selagi itu Jihad Pena ini akan saya teruskan.

Setiap wanita yang bergelar ibu, dengan derita 9 bulan memikul beban di badan dan bercengkang mata setiap malam pasti tidak akan rela dengan apa pun ancaman lebih-lebih lagi ancaman sisa radioaktif yang terbukti banyak berlaku di setiap negara yang melombong ‘nadir bumi’ atau ‘rare earth’ khususnya di China. Kanser, Leukemia, Kecatatan malah kematian khususnya dari kalangan kanak-kanak cukup ketara dan tidak dapat dijankau oleh setiap akal manusia yang waras untuk membiarkan tamak haloba menguasai jiwa dan seterusnya menodai sifat kasih sayang itu, lebih-lebih lagi kepada zuriat keturunan empunya diri.

Ringkasan isu Lynas di bawah diolah untuk memberi kefahaman menyeluruh dan terperinci dari sumber-sumber yang sahih kepada setiap insan  manusia yang  sayangkan nyawa dan persekitaran sebelum bumi yang kita pinjam ini dipulangkan kembali kepada generasi yang akan datang.
Terserah kepada pembaca untuk menilai semua fakta-fakta ini.
  1. Kilang Lynas sudah pun 95% dibina di Gebeng Kuantan. Keluasan menyamai 140 buah padang bola atau 100 hektar tanah. Kedudukan Kilang Lynas diapit oleh Polyplastic dan Projek Fasa 1 Kluster Industri Minyak Kelapa Sawit yang juga berhadapan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bersebelahan dengan BASF Petronas Chemicals. Juga tercatat papan tanda LAMPSON atau Lynas Advanced Material Plant (LAMP) antara Lynas Malaysia Sdn Bhd dan UGL Resources. UGL Resources adalah syarikat utama yang berpengkalan di Australia dalam bidang Pengurusan Aset dan Projek dengan jumlah kakitangan sekitar 42,000 orang. Mereka telah dianugerahkan Kontrak Pengurusan Projek Pembinaan Lynas di Gebeng pada 22/2/2010 dengan nilai kos pengurusan projek di sekitar RM96.8 juta. UGL Resources bertanggunjawab di dalam urusan rekabentuk kejuruteraan kilang Lynas. Kos infrastruktur Lynas di Gebeng dianggarkan sekitar RM700 juta. 
  2. 100% milik Lynas Australia.
  3. Dijadual untuk disiapkan Suku-3 2011 (September). Tarikh asal dikatakan pada Suku-1 2011 (March).
  4. Lesen untuk dibina diberi pada tahun 2008.
  5. Peluang Pekerjaan hanya untuk 350 orang sahaja.
  6. Akan menghasilkan 22 ribu tan 'rare earth oxide ' setahun.
  7. Nilai eksport dianggarkan pada nilai RM8 Billion setahun.
  8. Bebas Cukai selama 12 tahun.
  9. China merupakan pembekal ‘rare earth’ atau nadir bumi terbesar di dunia sebanyak 95%. Dijangka berlaku penurunan export nadir bumi atau ‘rare earth’ China dari 72% kepada 37% pada tahun 2011.
10. Harga satu tan pada RM364, 800.

11. Pembeli terbesar adalah dari Jepun, Amerika dan Eropah untuk keperluan industri berteknologi tinggi (Magnet Prestasi Tinggi) seperti Kabel Fiber Optic, Monitor LCD, Komputer, Lensa Kamera, Mentol Lampu, Smartphone, Alatan Ketenteraan dan Kereta Hybrid.

12. Lynas dijangka akan menjadi pengeluar 1/3 daripada keperluan ‘rare earth’ atau nadir bumi dunia selepas 2 tahun beroperasi.

13. Proses menghasilkan ‘rare earth’ atau nadir bumi secara umumnya:
  1. Ore dilombong di Mount Weld Australia.
  2. Ore tersebut kemudiannya akan dikeringkan dan proses pengasingan akan dilakukan. Di sini ‘rare earth concentrate’ akan dihasilkan.
  3. Di Gebeng Kuantan, proses seterusnya ialah menghasilkan ‘rare earth compounds’ dimana rawatan dengan menggunakan bahan kimia akan dilakukan untuk proses pengasingan seterusnya.
  4. ‘rare earth compounds’ tersebut akan seterusnya diproses  dengan menggunakan  kuantiti bahan kimia yang berbeza bergantung kepada jenis ‘rare earth’ atau nadir bumi itu, sama ada ia ringan atau berat untuk menghasilkan ‘ rare earth oxides’ di mana ia kemudiannya dihantar atau dieksport semula ke kilang pengeluar produk.
  5.  Di kilang pengeluar produk berteknologi tinggi, ‘rare earth oxides’ ini akan diproses sekali lagi juga menggunakan teknik ‘solvent extraction’ untuk menghasilkan ‘rare earth metal’ yang akan digunakan secara langsung atau dicampurkan dengan bahan lain untuk menghasilkan produk berteknologi tinggi itu.
14. ‘Rare earth ore’yang dilombong di Mount Weld mengandungi beberapa mineral utama dan diantaranya ialah monazite. Monazite adalah bahan radioaktif. Di dalam bahan mineral monazite ini terdapat thorium, cerium dan lanthanum. Monazite kaya dengan Thorium dan Thorium ini juga adalah bahan radioaktif yang tinggi dan boleh digunakan untuk menggantikan uranium dalam menghasilkan tenaga nuklear.
15. ‘Rare earth concentrate’ yang diimport dari Australia untuk diproses di Gebeng Kuantan ketika itu dianggarkan mengandungi 0.0029% Uranium dan 0.16% Thorium for every metrik tan.
16. ‘Rare earth concentrate’ yang diimport akan diproses untuk dijadikan ‘rare earth oxide’ di Gebeng Kuantan. Daripada komen yang disampaikan oleh CEO Lynas sendiri, kandungan Thorium adalah pada nisbah 55:10,000 metrik tan dan dari 22 ribu tan setahun ‘rare earth oxide’ yang dihasilkan dari kilang Lynas atau LAMP di Gebeng Kuantan itu, sisa buangan Thorium yang dianggarkan akan dihasilkan dalam tempoh setahun adalah sebanyak 121 metrik tan bersamaan dengan 121 buah lori 1 tan atau 24 buah lori 5 tan SETAHUN!.
17. Maklumat berkenaan Thorium dan kesannya kepada manusia persekitaran seperti yang dilaporkan oleh Agensi Perlindungan Persekitaran Amerika Syarikat (EPA) adalah seperti berikut:
  1. Thorium-232 mempunyai  jangka hayat 14 billion (14x109) tahun.
  2. Thorium-230 dan Thorium-228 mempunyai  jangka hayat 75,4000 tahun.
  3. Pencemaran Thorium boleh merebak dengan lebih meluas melalui air dan udara.
  4. Mereka yang tinggal berdekatan tempat yang menghasilkan sesuatu bersama Thorium berkemungkinan terdedah kepada bahaya Thorium.
  5. Manusia boleh dijangkiti atau terdedah dengan Thorium melalui sedutan udara, makanan dan air.
  6. Thorium yang dihidu atau disedut melalui udara akan kekal untuk jangka masa yang lama pada salur pernafasan. Thorium yang masuk ke salur darah akan juga tinggal di tulang pada jangka masa yang lama.
  7. Risiko Kanser di tekak, tulang dan pankreas kesan dari hiduan sisa Thorium.
18. Kes 1: Syarikat Mitsubishi Chemical yang terlibat dalam industri pemprosesan ‘rare earth’ di Bukit Merah dikaitan dengan 8 kes Leukimia dan 7 kes kematian. Telah ditutup pada tahun 1992 dan kerja-kerja pembersihan sisa masih berjalan sehingga ke hari ini (Hampir 20 Tahun) dan telah menelan belanja lebih RM300 juta.

19. Kes 2: Kebocoran radiasi di Fukushima selepas bencana Gempa Bumi dan Tsunami mendesak kerajaan negeri Jepun yang dikatakan cukup maju dalam pengurusan bencana untuk melebarkan kawasan evakuasi dari 16KM kepada hampir 40KM termasuk mengisytiharkan tahap 7 kebocoran radiasi, sama seperti yang dialami di Chernobyl Ukraine pada tahun 1986 yang telah meragut hampir 200,000 ribu kematian akibat kanser seperti yang dilaporkan oleh Greenpeace ketika itu.

20. Kes 3: Kesan toxic dan radioaktif dari industri ‘rare-earth’ di Baotou Mongolia.  Setiap proses ‘rare-earth’ bermula dari perlombongan ‘ore’ ke ‘rare earth oxide’ atau ‘rare-earth metals’ banyak menggunakan bahan asid dan kimia. Malah ketika perlombongan ‘ore’, bahan asid akan dimasukkan ke lubang yang digali. Sisa buangan radioaktif khususnya Thorium juga dihasilkan ketika melalui semua proses itu. Kebocoran bahan asid, kimia dan sisa radioaktif ini yang banyak berlaku di Baotou terbukti telah menyebabkan kemusnahan kepada hasil pertanian dan kesihatan seperti kerosakan hasil tanaman, gigi tercabut dan rabut putih atau beruban diawal usia muda sekitar 20-an. Malah kematian disebabkan kanser juga direkodkan walaupun lokasi penempatan penduduk berada 10KM dari kawasan penyimpanan sisa buangan radioaktif itu.

21. Kes 4: Kajian yang dilakukan oleh Kolej Perubatan Jiangxi di China dari sample darah dan ujian IQ pada kanak-kanak mengemukakan kesimpulan bahawa kanak-kanak di sekitar umur 7-10 tahun yang tinggal berdekatan dengan kawasan ‘rare-earth ore’ berkemungkinan mempunyai IQ atau kecerdasan akal yang lebih rendah berbanding mereka yang tinggal jauh atau yang tinggal di kawasan yang terkawal.

22. Kesannya kepada sumber ekonomi negara khususnya kegiatan ekonomi rakyat di sekitar Kuantan dan Kemaman:
  1. Sektor Perlancongan khususnya di Cherating Pahang (dalam Jarak 18-20 KM dari lokasi Kilang Lynas).
  2. Sektor Perikanan di Kuantan adalah antara yang terbesar. Terdapat 390 nelayan laut dalam yang berdaftar.
  3. Sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) khususnya makanan laut (Keropok Lekor, keropok, ikan bakar dan sebagainya).
  4. Nilai hartanah akan merudum kerana tiada siapa yang mahu membeli tanah atau kediaman di sekitar Kuantan dan di Kemaman.
  5. Ancaman kepada syarikat berdekatan khususnya Petro-Kimia seperti Kaneka, MTBE, Petronas BASF dan BP Chemicals. Kerugian yang besar jika operasi mereka terganggu dengan insiden kebocoran sisa radioaktif yang boleh menjejaskan kesihatan pekerja mereka.
  6. Pelabur baru dari luar negeri dan dari luar negara tidak akan berminat untuk melabur kerana ancaman sisa radioaktif daripada Lynas. Risiko terlalu tinggi.
23. Pertikaian rakyat khususnya rakyat setempat adalah berkenaan:
  1. ‘Public Consultation’ atau Konsultansi dari pihak awam tidak pernah berlaku malah sebelum lesen untuk dibina dikeluarkan pada tahun 2008.
  2. Laporan penuh Jabatan Alam Sekitar tidak dikongsi kepada rakyat, hanya Ringkasan Eksekutif yang dipaparkan di halaman web.
  3. Lokasi yang terlalu dekat dengan kawasan kediaman. Jarak 2 KM dari Balok dengan kepadatan penduduk seramai 16700 orang. Jika diambil kira keluasan evakuasi di Fukushima dalam jarak 40KM dari Gebeng Kuantan, kebocoran sisa radioaktif akan melibatkan keseluruhan penduduk di Kuantan, Gambang, Cherating malah Kemaman di Terengganu sekalipun. Jumlah penduduk yang mungkin terlibat boleh mencecah hampir 800 hingga 900 ribu secara keseluruhannya dengan Kuantan sahaja di sekitar 600 hingga 650 ribu orang. Syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Australia adalah minima 35KM dari kawasan penempatan penduduk.
  4. Cadangan untuk membawa masuk ‘rare earth concentrate’ dari Mount Weld Australia ke Malaysia sebagai bahan bukan radioaktif dari pelabuhan Kuantan.
  5. Menteri Western Australia, Hon Norman Moore memaklumkan sisa buangan radioaktif itu adalah milik Malaysia dan tidak akan diterima balik oleh Australia.
  6. Sisa buangan radioaktif dari ‘rare earth’ boleh dibuang sama seperti sampah domestik.
  7. Percanggahan kenyataan bahawa Mount Weld ‘ore’ yang dilombong di Austalia adalah jenis lanthanide dan bukan monazite.
  8. Panel bebas yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia iaitu IAEA atau Agensi Tenaga Atom Antarabangsa tidak bebas dan berat sebelah kerana mereka bukan ‘regulator’ atau pembuat undang-undang yang tiada berkepentingan dalam sumber tenaga itu tetapi mereka adalah ‘promoter’ atau pihak yang menyokong penggunaan sumber tenaga itu.
  9. Panel bebas harus diwakili dan dilantik oleh rakyat yang berkepentingan dalam isu ini.
  10. Kelulusan untuk beroperasi tidak boleh diberi selagi mereka tidak memenuhi piawaian yang dicadangkan oleh Molycorp Minerals (California).
  11. Piawaian negeri China yang berkait dengan Perancangan Pengurusan Pemprosesan dan Sisa Buangan tidak seharusnya digunakan. Sebagai contoh Menggunakan piawaian China GB9133-S3 dimana sisa buangan dengan aktiviti khusus yang kurang daripada 74Bq/g diklasifikasikan sebagai bukan sisa radioaktif dan boleh disimpan di kemudahan simpanan sisa biasa.
  12. ‘Proof of Concept (POC)’ atau Bukti Konsep seharusnya dibuat oleh Panel Pakar yang bebas dan ujian konsep ini seharusnya dilakukan di Mount Weld Australia sendiri.
  13. Cadangan membawa ‘rare earth’ bukan sahaja dari Australia tapi juga dari Malawi. Berkemungkinan ‘rare earth’ dari negara lain akan dibawa ke Gebeng Kuantan. Gebeng Kuantan berkemungkinan akan menjadi pusat serantau Asia malah dunia dalam penyimpanan sisa radioaktif dari perlombongan ‘rare earth’.
  14. Denda RM50 juta seperti yang termaktub di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom Perenggan 59 (1) untuk setiap bencana kepada Lynas dilihat cukup ringan berbanding hasil RM8 Billion setahun LAMP. Hanya satu bencana yang melibatkan sisa radioaktif memadai untuk menjadi ancaman yang serius dan kekal lama kepada semua.
 Jika anda seorang ibu atau ayah, cuba renungi mata anak-anak anda dan katakan kepada diri anda, haruskah perkara ini diabai atau diendahkan?. 

P/s: Antara kekayaan dan keselamatan mana satu yang kita pilih ?!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan