Isnin, 25 April 2011

Emas Mengubah Taraf Hidup

Abang ni kan bila duduk depan orang ramai, Atif lalu, buat tak tahu aje,” kata wartawan Wanita Hari Ini, Marwatif Amer.  

“Ish! Atif lagi la, bila abang lalu kat depan mata langsung tak jeling pun, komputer tu lebih penting,” balas saya mengusiknya.

Atif seperti dia suka dipanggil, gadis ceria berasal dari Alor Star, Kedah cukup pemurah dengan ukiran senyuman.
Senyumannya mengingatkan saya kepada 2 wanita saya temui pada 24 April lalu sewaktu membuat tinjauan harga beras di sempadan Malaysia-Thailand.
Sebelum ke sempadan saya sempat singgah ke kedai menjual cincin di Kota Bharu.

“Ini cantik, Kak Ma beli kat orang ni. Tapi buatan dia kemas la,” kata taukeh kedai.

Saya membelek cincin perak dengan batu merah diikat suasa.

“Berapa harga ni kak?,” tanya saya.

“Tiga ratus genap la, special prize dah tu. Sebab abang Napi”
Napi, nama gelaran jurukamera wakil TV3 di Kelantan, Hanafi Mat.
Sewaktu keluar dari kedai itu saya dihampiri wanita berbaju kuning lengkap bertudung muncul dari deretan kedai.

“Nama kita Kak Zura,” katanya kepada saya.

Saya senyum. “Nama saya Mazidul,” saya memperkenalkan diri.

“Ish! Tak payah kenalkan diri dah, Kak Zura kenal sangat, selalu kuncul kat TV,” katanya sambil tangan menggenggam erat tali beg tangan disandang.

“Bila datang sini?,” tanya Kak Zura.

“Dua hari dah,” saya membalas ringkas.

“Kaya sungguh orang di Kelantan ni kan? Tak berat ke leher tu?,” gurau saya.
Di leher Kak Zura melekap kemas 3 rantai emas selebar ibu jari setiap satu.

“Kita dah biasa, berniaga macam ni la,” balasnya.

“Ini kawan baik abang Napi ni,” kata jurukamera.

“Kak Ma tadi pun kawan abang Napi jugak?”
Hanafi menganggukkan kepala.
Tidak hairan, sejak saya mula mengenali Hanapi sewaktu melaksanakan tugasan pertama Majalah 3 pada tahun 1997, dia memang mempunyai ramai kenalan.
Kemana sahaja dia melangkah, dia dikenali dan seringkali disapa, barangkali macam Kak Zura.

“Mari minum,” pelawa Kak Zura.
Sewaktu di restoran, Kak Zura tidak teragak-agak berkongsi sebahagian daripada kisah hidupnya.

“Nama dalam kad pengenalan apa?,” tanya saya, sekadar ingin tahu.

“Siti Hasmah Wok. Macam nama isteri Tun Mahathir lah. Tapi kalau nama glamor, panggil Kak Zura saja,” jelasnya selamba.

Dimaklumkan dia dilahirkan di Bachok, Kelantan dan kini berusia 54 tahun.

“Tua dah Kak Zura ni,” keluhnya.

“Tapi steady lagi,” puji saya.

“Dulu Kak Zura kahwin umur 12 tahun, percaya tak?”
Saya terpegun sekali lagi.

“Pilihan mak ayah, masa tu kita tak tau apa. Boleh bertahan sebulan, lepas tu cerai terus,” katanya.

“Ini anak sulung Kak Zura, Nora. Anak dengan suami ke dua, ada lima semua anak, umur antara 18 dan 40 tahun,” sambil dia mengerling ke arah wanita duduk di sebelah kanannya.

“Nora kerja apa?,” soal saya.

“Ikut mak la, jadi body guard dia,” sambil tersenyum.

“Kak Zura berniaga macam mana?,” tanya saya.

“Kita beli barang kemas orang tak mampu tebus di pajak gadai, lepas tu jual kepada pembeli,” jawabnya.
Tidak hairanlah mengapa purse Kak Zura penuh dengan wang kertas lima puiluh ringgit.

“Tak muat dah purse tu, bubuh dalam beg saya ni sikit,” saya mengusiknya.
Dia hanya tersenyum.
Spontan Kak Zura kemudian mengeluarkan timbang elektronik dan calculator dari beg tangan dijinjing sejak tadi.

“Macam ni, dulu Kak Zura beli harga dia 10 ribu, waktu tu ada datin ni pakai. Emas putih ni. Sekarang harga dia 24 ribu,” katanya sambil tersenyum.
Barangan kemas three-piece diletakkan di atas meja.

“Uih! Mahalnya,” saya terkejut.

“Dulu Kak Zura jual buah-buahan dari Danok tapi satu hari 20 tahun lepas, ada perempuan tua datang nak jual gelang sebab dia terdesak tak cukup duit. Kak Zura beli dan lepas tu jual kat kedai, boleh untung 70 ringgit,” jelasnya.
Terpancar wajah keceriaan.

“Lepas tu Kak Zura terfikir, jual buah nak dapat untung 70 ringgit sehari susah. Kalau jual beras seludup, asyik kena tangkap, mana larat. Sejak itu la Kak Zura mula beli dan jual emas”
Pada awal pertemuan saya menjangka Kak Zura ibu tunggal. Tetapi telahan saya ternyata meleset.

“Suami Kak Zura pencen dah, Yahya namanya. Dulu dia kerja Jabatan Perikanan, lepas tu join maritim, duk laut berhari-hari,” jelasnya.

“Gambar siapa kat handphone tu,” soal saya.

“Anak bongsu Kak Zura, Nordaleela. Baru habis SPM,” jelasnya.

“Buat apa dia sekarang?”

“Dia minat menari, ada waktunya ke Kuala Lumpur, ikut group menari kalau ada majlis,” jelasnya bangga.

Saya mendengar sambil mata menjeling semua barang kemas dipakai Kak Zura.
“Tak takut ke jalan-jalan pakai emas banyak ni? Kena ragut kan payah?”
“Kak Zura dah biasa kawasan ni. Tak pernah berlaku lagi la. Mintak-mintak jangan,” luahnya.

“Tapi Kak Zura ada bawa pisau lipat,” dia kelihatan yakin.

“Kalau kira-kira berapa nilai semua barang kemas Kak Zura pakai di badan ni?,” soal saya.

“Seratus ribu lebih rasanya,” jangka Hanapi.

“Itu tak termasuk harga gelang kaki Kak Zura lagi, dekat-dekat 7 ribu ni,” sambil dia menyingkap sedikit kain di pakainya ke tahap buku lali.

“Bila abang Pi nak bawa kita ke rumah orang susah, kita pun nak sedekah sikit ni,” tanya Kak Zura kepada Hanapi.

“Nanti lah kita pergi, Mazlin Nordin nak datang hari khamis minggu depan ni, kita pergi sekali lah,” janji Hanapi.
Petang sama, Hanafi menghubungi saya.

“Jom la, dia masak dah”

Sewaktu tiba di perkarangan rumah Kak Zura saya benar-benar terpegun, bukan calang-calang besarnya rumah banglo dua tingkat dibina dengan kos lebih 400 ribu ringgit itu.
Saya terfikir, mengapa wanita hidup mewah seperti Kak Zura masih lagi berjalan kaki setiap hari, berkunjung dari kedai ke kedai, mencari pelanggan untuk membeli 
 emasnya?

“Itulah kerja Kak Zura suka,” jelasnya kepada saya.

“Elok la tu, Kak Zura suka jual emas, abang suka laut,” gurau saya.
Yahya kini memiliki 9 bot menangkap ikan di laut dalam.

“Kalau lain kali Mazidul datang dengan famili, turun kapal terbang, jalan kaki saja ke rumah ni, dekat sangat,” kata suami Kak Zura.

“Airport Pengkalan Chepa kat belakang tu saja, tak payah sewa hotel, duduk saja dengan kami,” pelawa Yahya.
Malam itu kami dihidangkan pelbagai lauk-pauk, sedap. Dijamu buah-buahan, durian, jambu dan mempelam.

Terdetak di hati saya. “Rezeki hasil jualan emas, barangkali”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan