Bahagiakah bila berada di negara paling bahagia di dunia??
Denmark sekali lagi mengekalkan takhta sebagai negara paling bahagia di 
dunia berdasarkan laporan tahunan kedua yang dikeluarkan oleh UN Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2013 (World Happiness Report 2013). 
Tahap kegembiraan sesebuah negara dinilai berdasarkan enam elemen penting iaitu kesihatan jangka hayat (health life expectancy), persepsi terhadap rasuah (perceptions of corruption), KDNK per kapita (GDP per capita), kebebasan untuk membuat pilihan hidup (freedom to make life choices), sokongan sosial (social support) dan juga kemurahan hati (generosity). Laporan yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Earth Institute di University of Columbia itu
 mengklasifikasikan tahap kebahagiaan pada skala 1 hingga 10. Denmark 
mendapat 7.693 mata manakala Malaysia pula berada di tangga ke-56 dengan
 5.760 mata dari keseluruhan 156 negara yang tersenarai.
|  | 
| Nyhavn, pelabuhan kecil di Denmark. Penuh dengan orang tak kira musim panas atau sejuk | 
Apa yang menarik, 
kelima-lima negara yang mengungguli carta negara paling gembira atau 
bahagia di dunia adalah negara yang terletak di utara eropah iaitu 
Denmark (1), Norway (2), Switzerland (3), Netherlands (4) dan juga 
Sweden (5).  Jadi, apakah punca sebenar rakyat di negara tersebut 
gembira dan bahagia? Adakah faktor cuaca dan lokasi sesebuah negara?
Daripada pemerhatian dan pengamatan penulis yang berada di bumi Denmark 
selama hampir tiga tahun, terdapat banyak faktor yang mendorong Denmark 
menjadi negara paling gembira di dunia. Apa yang pasti ia bukan 
disebabkan faktor cuaca kerana negara di skandinavia mengalami musim 
sejuk yang panjang. Mana mungkin, seseorang itu boleh menjadi lebih 
gembira sekiranya sentiasa dibelenggu cuaca yang sejuk dan dingin 
sepanjang tahun. Jadi apakah faktor sebenar yang melayakkan Denmark 
digelar sebagai negara paling bahagia?
Kebajikan rakyat terjaga
Denmark sememangnya 
cukup dikenali sebagai model contoh sebuah negara kebajikan. Semua 
warganegara mempunyai hak yang sama dalam aspek keselamatan sosial dan 
beberapa perkhidmatan disediakan untuk rakyat secara percuma. Contohnya 
kemudahan kesihatan. Di Denmark, setiap individu bebas memilik klinik 
panel dan doktor keluarga masing-masing. Ini termasuk semua penduduk 
sama ada berstatus penduduk tetap ataupun sementara. Semua diberikan 
insurans kesihatan bagi menjamin kebajikan orang yang menetap di Denmark
 terjaga.
Tidak keterlaluan dinyatakan bahawa negara ini turut menitikberatkan 
kebajikan haiwan peliharaan. Penulis sendiri pernah melalui pengalaman 
yang merumitkan walau sekadar ingin memelihara ikan kecil di dalam 
rumah. Ini adalah kerana untuk memelihara ikan, sampel air di rumah 
perlu dihantar untuk dianalisis dan perlu membeli akuarium yang 
mempunyai saiz tertentu serta lengkap dengan peralatan khas termasukkan 
sistem pengaliran udara dan juga penapisan air. Pendek kata, jika 
tuntutan tersebut tidak dapat dipenuhi maka ikan tidak akan dijual. 
Semua langkah ini dijalankan bagi memastikan kebajikan ikan yang bakal 
dipelihara terjaga.
Pendidikan percuma
Dalam sistem kebajikan Denmark, pendidikan juga adalah percuma dari 
sekolah rendah hingga universiti. Kadar literasi di Denmark antara yang 
tertinggi di dunia iaitu 99%.  Pendidikan awal kanak-kanak lebih 
tertumpu sebagai tempat membina kemahiran berdikari dan bersosial serta 
menyuburkan nilai murni dan jati diri. Pelajar sekolah tidak terbeban 
dengan timbunan kerja sekolah yang perlu dilangsaikan setiap hari. 
Sekali seminggu, guru akan membawa kanak-kanak kecil melawat zoo, 
muzium, taman rekreasi dan tasik dengan hanya menaiki pengangkutan awam 
seperti bas dan juga keretapi tanpa perlu menempah bas sekolah atau van.
 Mudah dan senang bukan?
Semua mahasiswa di universiti tidak perlu membayar yuran pengajian bagi 
institusi pengajian tinggi awam dan juga hampir semua institusi 
pengajian tinggi swasta. Malahan semuanya ditawarkan bantuan kewangan 
bulanan yang dikenali sebagai Statens Uddannelsesstøtte  (The State's Educational Support).
 Institusi pendidikan di Denmark mempunyai tahap yang tinggi dan 
menggabungkan pendekatan pembelajaran yang inovatif bagi menghasilkan 
pelajar yang berperananan aktif dalam masyarakat berasaskan pengetahuan 
global. Apa yang menarik, institusi pendidikan turut mendapat manfaat 
daripada kerjasama yang erat dengan pihak industri dan institusi 
penyelidikan lain bagi memperkayakan suasana pembelajaran yang efektif 
untuk pelajar.
Kerja sedikit, gaji banyak
Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) pada
 tahun lalu melaporkan pekerja di Denmark mempunyai purata tempoh waktu 
kerja yang kedua terendah selepas Netherlands iaitu hanya 33 jam 
seminggu. Semua pekerja turut memperolehi sekurang-kurangnya lima minggu
 cuti bergaji untuk bercuti di musim panas. Tidak dinafikan pekerja di 
Denmark juga turut selesa menikmati gaji bulanan yang tinggi. Misalnya 
gaji minimum yang disyaratkan oleh kerajaan Denmark adalah 115 danish 
kroner iaitu kira-kira RM66 sejam.
Bagaimanapun, pekerja dikenakan cukai yang cukup tinggi. Purata cukai 
yang dikenakan adalah dari 38-55% bergantung kepada jumlah pendapatan 
tahunan. Malah, potongan cukai boleh mencapai sehingga 68%. Walaupun 
cukai yang dikenakan tinggi, warga tempatan seolah reda kerana mereka 
sama-sama dapat menikmati kemudahan dan prasana kelas pertama yang 
disediakan kerajaan. Misalnya, jaringan pengangkutan awam yang efisen 
serta pilihan perkhidmatan internet dan telekomunikasi yang baik.
|  | 
| Salah satu iklan menarik di Copenhagen. Diskaun untuk membeli cenderamata berdasarkan umur. Umur 52 dapat 52% diskaun, kalau 78 tahun dapat 78% dan kalau 100 tahun, free je kot. | 
Selain itu, 
undang-undang buruh negara Denmark mengamalkan konsep 'flexicurity' 
iaitu gabungan unik di antara fleksibiliti (flexibility) dan juga 
keselamatan ataupun jaminan (security). Konsep unik ini membolehkan 
 majikan bebas melantik atau memecat pekerja. Bagaimanapun, sekiranya 
dipecat, pekerja tersebut akan dilindungi kerajaan yang mana penganggur 
berhak mendapat gaji minimum yang membolehkannya menyara hidup sehingga 
mendapat kerja yang baru dalam tempoh dua tahun.
Pekerja juga mempunyai waktu kerja yang fleksibel. Kebanyakan majikan 
membenarkan pekerja memilih waktu masuk kerja. Apa yang penting kerja 
yang ditugaskan diselesaikan dalam tempoh waktu kerja yang ditetapkan. 
Lebih menarik, ibu yang melahirkan anak boleh mendapat cuti bersalin 
dengan gaji penuh sehingga setahun. Manakala si bapa pula boleh mendapat
 cuti bergaji jika pasangan bersalin hingga tiga bulan. Menarik bukan?
| Berbasikal ke mana-mana saja | 
Persekitaran sihat dan selamat
Penduduk di sekitar bandar Copenhagen gemar menggunakan basikal untuk ke
 sesuatu tempat. Oleh itu kesesakan lalu lintas adalah sangat kurang 
walaupun pada waktu puncak. Situasi ini bukan sahaja baik untuk alam 
sekitar malah baik untuk kesihatan. Masyarakat tempatan juga gemar 
melakukan aktiviti riadah tanpa mengira waktu. Seringkali kelihatan 
orang ramai bersenam dan berjoging tidak kira dalam kehujanan, pada 
waktu malam malah semasa salji turun sekalipun. Di kawasan kejiranan 
pula banyak disediakan taman kecil dan tempat beriadah. Sementelahan  
itu, jika cuaca baik, maka berpusu-pusu orang ramai keluar bersiar-siar 
atau hanya sekadar duduk di bangku di beranda sambil menikmati sinar 
mentari.
| Nenek warga emas berjoging semasa salji masih tebal | 
Malah sewaktu musim sejuk sekalipun mereka gemar menceriakan suasana 
sambil beristirehat di rumah dengan memasang lilin beraroma atau lebih 
dikenali sebagai 'hygge' dalam bahasa tempatan. Perkataan itu sendiri 
sebenarnya sukar didefinisikan kerana mempunyai konotasi berbeza-beza. 
Tetapi boleh ditakrifkan sebagai keselesaan. Contohnya, dengan menikmati
 secawan kopi sambil dibaluti selimut sambil membaca buku. Suasana 
sebegini sudah tentu mendamaikan dan membuatkan hati menjadi tenang dan 
selesa.
Antara faktor lain yang menjadikan seseorang itu sentiasa gembira adalah
 apabila berasa selamat. Kadar jenayah di Denmark secara keseluruhannya 
rendah. Jarang sekali terdengar kes tembakan, kecurian atau rompakan. 
Tirai besi tidak diperlukan untuk membaluti tingkap kaca rumah. Anak 
kecil juga boleh bebas bermain di sekitar kediaman tanpa ibu bapa perlu 
risau bahaya kes penculikan.
Lantaran itu, faktor sebegini mendorong rakyat di Denmark menjadi 
sentiasa ceria dan gembira serta sangat berpuas hati dengan kehidupan 
masing-masing. Memang penduduk negara kaya cenderung untuk lebih bahagia
 tetapi kekayaan sesebuah negara bukanlah menjadi faktor penentu untuk 
mengukur tahap kebahagiaan.
* Penulis adalah pelajar yang baru menamatkan ijazah sarjana di Copenhagen, Denmark.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
http://www.themalaysianinsider.com
http://www.themalaysianinsider.com
P/S: Terima kasih editor TMI sudi siarkan. Terima kasih juga atas 
pembetulan. Perkataan 'redha' rupanya ejaan yang betul adalah 'reda'. 
Tapi ada satu lagi editor tak perasaan, perkataan 'and' terlupa dipadam 
pada perenggan kedua. Tapi tak pe, janji mesej dan info yang nak 
disampaikan, sampai kepada pembaca .
*Malaysia tanah tumpahnya darah ku...walaupun dot dot dot
 kredit:darikelatekecopenhagen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan