Hidayah 
itu hanyalah dari Allah. Kadang-kadang kita berbelanja berjuta-juta 
ringgit beri bantuan, beri saguhati penceramah beribu-ribu ringgit untuk
 beri ceramah, buat siaran ceramah di TV, belum pasti yang bukan Islam 
akan dapat hidayah, kerana hidayah milik Allah.
Cerita 
bagaimana mereka mendapat hidayah di Sabah hanya kerana upah buat 
tangga kayu RM150 yang pada asalnya bertujuan untuk bantu orang lain, 
akhirnya yang membuat tangga yang mendapat hidayah.
Tangga kayu yang buta, bisu dan pekak boleh jadi punca Allah beri hidayah, kita bagaimana?
Kisah penuh “Hidayah Sang Pemburu: Kisah Tangga” 

Hamzah, 
nama lamanya Pakiak, seorang pemburu. Kebolehan beliau memburu amat 
dikagumi di pedalaman ini. Beliau mampu “memanggil” binatang buruan yang
 dikehendaki.
“Bagaimana kamu semua sebaik ini?” Tanya Encik Pakiak. Saya jawab, “Inilah Islam.” Maka dia berkata, “Saya pun ingin jadi Islam.”
Demikian
 sebahagian perbualan kami pada 28 Sept 2012, ketika Saudara Hamzah 
(Pakiak) sedang membina tangga di rumah saudara Anton di Kampung Kagasa,
 Nabawan.
Beliau 
tertarik memeluk Islam apabila mendapat tahu, kayu-kayu yang diguna 
membina tangga itu diusahakan oleh saudara-saudara Islam di Mukim 
Sepulut, walaupun agak jauh dan tidak begitu kenal antara mereka. Hanya 
kerana rasa bersaudara dalam Islam, mereka sanggup membantu.
Malam 
Jumaat, 7 Sept 2012, kami ziarahi keluarga Anton dan Rosneh di Kampung 
Kagasa, Nabawan. Kebetulan rumah mereka terletak dalam perjalanan kami 
menuju ke Sepulut.

Rumah Anton
Ketika 
kami ziarahi mereka mereka baru pulang dari hospital di Keningau. Anton 
mengidap sakit tulang belakang sementara isterinya Rosneh Osman baru 
menjalani pembedahan usus.
Masalah 
kesihatan yang ditanggung Anton menyebabkan beliau tidak mampu bekerja 
berat. Beliau selama ini mengambil upah membersih kebun atau tanah 
orang.
Keadaan 
rumah mereka amat menyedihkan. Tangga rumah mereka yang sangat uzur dan 
reput, jika disentuh pasti luruh. Tidak dapat dibayangkan bagaimana 
mereka masuk ke rumah melalui tangga ini, lebih-lebih lagi dalam keadaa 
anak-anak mereka yang masih kecil dan masalah kesihatan mereka.
Kami 
perlu berhati-hati ketika memanjat sisa-sisa tepian tangga untuk naik ke
 rumah. Mereka menyambut baik walaupun pertama kali bertemu.
Hal 
kesusahan hidup pasangan ini saya ketahui dari adik mereka yang belajar 
di SMK Nabawan. Walau hari sudah gelap, kami berusaha untuk singgah ke 
sini, menghulurkan bantuan mana yang patut.
Setelah 
ziarah sebentar, bertanya khabar serta menyampaikan sedikit makanan dan 
wang, kami bergegas ke Sepulut. Di sana ada seorang sedang menanti untuk
 mengucap dua kalimah syahadah.
Oleh 
kerana ketibaan kami agak lewat malam itu, saudara-saudara di Sepulut 
bertanya, kerana lama mereka menunggu. Saya jelaskan keadaan serta 
menunjukkan gambar keluarga Anton dan keadaan rumah mereka.
Walaupun
 tidak saling mengenali, atas rasa tanggungjawab sesama Islam, mereka 
berjanji akan mengusahakan kayu untuk mengganti tangga rumah Anton.
Bukan sahaja kayu, malah zink dan paku juga dihantar sama ke rumah Anton. Kini hanya perlukan seorang tukang.
Pemandu kami, Wasli @ Stanley, mencadangkan agar bapa saudaranya, Pakiak sebagai tukang. Saya bersetuju.

Membina Tangga
Dengan upah RM150, Pakiak memulakan kerja-kerja dibantu isterinya.
Beliau kehairanan apabila melihat kayu-kayu yang telah sedia digunakan untuk membuat tangga.
“Dari mana kayu-kayu ini? Tanya Pakiak.
“Kayu ini dari saudara muslim di Sepulut.” Jawab saya.
Beliau terkedu apabila diberitahu oleh isteri Anton bahawa mereka tidak saling mengenali.
Begitulah,
 walaupun saudara-saudara kita di Sepulut kebanyakannya baru memeluk 
Islam, tetapi iman dan rasa persaudaraan Islam mereka subur. Mereka 
membantu menyediakan kayu untuk menggantikan tangga rumah saudara Islam 
mereka yang telah rosak, walaupun mereka dari kampung yang berjauhan.
Pakiak tersentuh…hatinya mula terbuka. Hidayah mula tiba.
“Bagaimana kamu semua sebaik ini?” Tanya Encik Pakiak.
Saya jawab, “Inilah Islam.”
Maka dia berkata, “Saya pun ingin jadi Islam.”
Itulah 
yang mendorong beliau mengucap dua kalimah syahadah di Kampung Padang 
pada 9 Feb lalu. Beliau insan ke 160 memeluk Islam sepanjang misi dakwah
 ini. Alhamdulillah. 

Pakiak Mengucap dua kalimah syahadah

Isteri Pakiak memeluk Islam
Dari Abu
 Hurairah r.a dari Nabi SAW, beliau bersabda: “Barang siapa yang 
melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan 
darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan 
mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di 
akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan
 menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong 
hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya.” (HR. Muslim)
Kerana 
itu kasih sayang amat berkait rapat dengan iman. benarlah sabda Nabi, 
“Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya 
sepertimana dia mencintai buat dirinya” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Rentetan

Tangga baharu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan