sumber gambar: rawatanislam2u.
Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti 
setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas 
Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.
Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat 
selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa
 Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam 
sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:
Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan 
bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah 
wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda 
saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw 
berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg 
akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan 
aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian 
terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”
Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd 
Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. 
Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu 
syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat
 ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan 
terhadap orang2 yg dengki.”
Hari nisfu sya’aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita 
selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang 
baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula
 sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya’aban bermula pada 14 hb 
sya’aban sebaik sahaja masuk maghrib). 
Sambungan ini amat panjang. Kelapangan masa, waktu dan fikiran anda untuk menerima ilmu amatlah diperlukan.
– Fatwa tentang merayakan malam Nisfu Syaaban –
Bacaan yasin
Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam nisfu Syaaban ( 15hb 
Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali
 selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan 
dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin pertama dengan doa 
untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya 
dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa 
supaya dianugerahkan rezeki yang halal.
Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya 
sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak 
hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masa 
kini tentang sahih batilnya amalan ini.
Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan .
 Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. atau 
sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan as-sunnah
 . Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa 
nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan dikhuatiri 
berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.
Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa 
untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam 
nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa 
saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak
 perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam nisfu Syaaban. 
Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana
 dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan 
harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t.
Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di
 Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu 
Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yasin 
dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan 
oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh 
dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah sebahagian dari 
sekian banyak amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan 
penduduk nusantara ini!
‘Solat Sunat’ Nisfu Syaaban
Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi 
kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku 
telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [al-Maa’idah 5:3]. 
“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana 
bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan 
oleh Allah?” [al-Syur.a 42:21]
Dalam kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa 
Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: “barangsiapa mengada-adakan perkara 
baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian 
daripadanya, akan tertolak.”
Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) 
bersabda dalam khutbah Baginda: “Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan 
Sunnah para Khulafa’ Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya… 
Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap 
perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat.” 
Terdapat banyak lagi ayat Qur’an dan hadis yang seumpamanya.
Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama 
umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak 
mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan 
perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala
 apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun 
percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang 
direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya
 dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada 
orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.
Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para 
salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana
 telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam 
bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.
Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari 
pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa 
pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang 
puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa
 ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis 
diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban kesemuanya 
adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan 
oleh sebahagian besar alim ulama. 
Kita akan lihat beberapa petikan dari 
ulasan para alim ulama ini.
Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian
 ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut 
nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat 
berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain
 pula adalah maudhu’ (rekaan). 
Antara ulama yang memperjelaskan hal ini 
adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan 
lain-lain. Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai
 untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak 
ada asas yang Sahih bagi sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis 
dha`if tersebut tidak dapat digunapakai.
Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas
 Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama 
(rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di 
kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah 
Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu 
atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa 
yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu 
sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an 
dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi
 mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.
Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang 
beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah 
dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. 
Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu 
perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah 
(Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah 
dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih 
elok pula kesudahannya.” [al-Nisa’ 4:59]
“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua 
perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya 
terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah 
Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk 
kembali (dalam segala keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai 
Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya 
Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), 
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman 
sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan 
yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati 
mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka 
menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [al-Nisa’ 4:65]
Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, 
yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk 
kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang 
diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan 
inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang 
demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”
 [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari Akhirat.
Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if 
al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang 
lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di
 kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin
 ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada 
malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia
 kerana perbuatan mereka ini.
Disebutkan bahawa mereka telah mendengar 
riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, 
sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara 
mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin 
Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di 
Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata 
mereka: semua ini adalah bid’ah…
Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang 
(adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang 
Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w) 
ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”
Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). 
Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih 
daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda (R.A)
 mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).
Dalam keadaan di mana tidak ada bukti shar’i bahawa apa-apa perkara 
itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi Umat Islam untuk 
mereka-reka perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah ianya amalan 
perseorangan ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka 
mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah s.a.w: 
“Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada 
urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil 
yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar 
menjauhinya.
Imam Abu Bakr al-Tartushi (R.A) menyebut dalam kitabnya al-Hawadith 
wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam berkata: Kami
 tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan ulama dan and fuqaha’ 
kami yang memberi perhatian lebih kepada Malam Nisfu Shaaban, tidak ada 
juga yang memberi perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan 
bahawa malam tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain. 
Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad 
an-Numairi mengatakan bahawa pahala di Malam Nisfu Shaaban adalah 
menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab, “Sekiranya aku dengar 
sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan 
memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita.”
Al-Shaukani (R.A) berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang 
berbunyi: ‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di Malam 
Nisfu Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [Surah 
al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi 
segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan 
katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang 
yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui 
bahawa ‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad 
hadis ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini juga diriwayatkan 
melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka dan kesemua 
perawinya adalah are majhul (tidak diketahui asal-usulnya).
Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut 
tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis palsu, dan hadis Ali 
yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “ Apabila tiba malam pertengahan 
Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang 
harinya” – adalah dhaif (lemah).
Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di 
pertengahan Syaaban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap 
rakaat… (hadis ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam 
tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya 
lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap 
rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah 
maudhu’.
Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu ini, antaranya 
pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. 
Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan Syaaban – telah 
diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan 
direka-reka.”
Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam 
pertengahan Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu 
terhadap Rasulullah s.a.w.”
Imam al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Sembahyang yang 
dikenali sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat
 antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan
 sembahyang sunat Malam Nisfu Shaaban, sebanyak seratus rakaat – 
kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang 
ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan 
Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan dalam 
kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak 
sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam 
hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa sembahyang ini
 adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”
Sheikh al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin Isma’il al-Maqdisi 
telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang membuktikan bahawa 
riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa beliau sangatlah besar. 
Alim `ulama telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar, dan 
sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan tersebut untuk 
dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang sangat panjang. 
Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda 
yang mencari kebenaran.
Daripada ayat-ayat Qur’an, hadis-hadis dan pendapat ulama yang 
dipetik di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan 
bulan Syaaban dengan cara bersembahyang di malamnya atau dengan 
mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan puasa pada hari 
tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh jumhur ulama. Amalan tersebut 
tiada asas dalam syariat Islam yang tulen; bahkan ianya hanyalah salah 
satu perkara yang diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman 
Sahabat (radhiallahu `anhum).
Amat memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah (mafhumnya):
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.
Dalam Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurarah (R.A) berkata: 
“Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk
 bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang hari Jumaat untuk 
berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah sebahagian daripada 
puasa-puasa yang kamu amalkan berterusan-berterusan.’”
Seandainya dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk 
amalan ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang paling
 sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling baik bermula 
terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis Sahih yang 
diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Memandangkan Nabi Muhammad s.a.w
 sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk bertahajjud, 
itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya dikhususkan 
malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadat, kecuali di mana terdapat 
nas yang Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.
Oleh kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam Lailatul-Qadr dan
 malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat, Rasulullah s.a.w 
memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya bersolat malam 
sepanjang tempoh tersebut. Baginda sendiri melaksanakannya, sebagaimana 
disebut dalam al-Sahihain, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: 
“Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadan dengan penuh iman dan 
mengharapkan pahala, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” 
dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul Qadr dengan bersolat (sunat) 
disebabkan iman dan mencari pahala, Allah ampunkan kesemua dosanya yang 
telah lalu.”
Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk mengkhususkan malam 
pertengahan bulan Syaaban, atau malam Jumaat pertama di bulan Rejab, 
atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya ataupun dengan 
melakukan amalan ibadat yang khusus, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w 
telah mengajar umatnya melakukannya, dan Baginda sendiri melakukannya. 
Jika pernah berlaku sedemikian, para Sahabat Baginda (R.A) pasti akan 
memperturunkan amalan amalan tersebut kepada umat terkemudian; tidak 
mungkin mereka menyembunyikan amalan daripada umat terkemudian, kerana 
mereka adalah generasi yang terbaik dan yang paling amanah selepas 
Rasulullah, radhiallahu `anhum, dan semoga Allah merahmati kesemua 
sahabat Rasulullah s.a.w.
Sekarang kita telah membaca sendiri kata-kata ulama yang dipetik di 
atas bahawa tidak ada riwayat daripada Rasulullah s.a.w mahupun Para 
Sahabat (R.A) berkenaan kelebihan malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau
 malam pertengahan bulan Syaaban. Maka kita tahu bahawa menyambut hari 
tersebut adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke dalam Islam, dan 
mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan ibadat tertentu adalah bid’ah
 yang tercela.
Samalah juga dengan sambutan malam ke dua puluh tujuh bulan Rejab, 
yang mana disangkakan oleh sesetengah orang sebagai malam Isra’ dan 
Mi’raj; tidak dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk amalan 
tertentu, atau meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang dipetik 
di atas. 
Ini sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah diketahui, 
maka bagaimana sekiranya pandangan ulama yang benar adalah tarikh 
sebanar Isra’ and Mi’raj tidak diketahui! Pandangan yang mengatakan 
ianya berlaku pada malam ke dua puluh tujuh di bulan Rejab adalah 
riwayat yang palsu yang tiada asas dalam hadis-hadis sahih.
 Baik 
sekiranya seseorang itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang 
mengikut jalan para salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang 
diada-adakan.”
Kita memohon agar Allah membantu kita dan seluruh umat Islam untuk 
berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan 
dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Semoga 
Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita Muhammad s.a.w, serta 
kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat baginda.
Ulasan dan terjemahan fatwa : http://www.darulkautsar.com
[Dipetik daripada Majmu’ Fatawa Samahat al-Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz, 2/882]
[Dipetik daripada Majmu’ Fatawa Samahat al-Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz, 2/882]
ohislam.com
Rujukan :

Tiada ulasan:
Catat Ulasan