
LEBIH dua juta umat Islam melakukan tawaf pada musim haji.
SELAMA beratus-ratus tahun, soalan apa ada di dalam Kaabah menjadi misteri kepada berjuta-juta umat Islam yang melakukan tawaf mengelilingi ‘Rumah Allah’ itu. Hanya golongan diraja Arab Saudi, pemimpin negara Islam dan orang tertentu dibenarkan memasukinya terutama semasa acara mencuci Kaabah yang dilakukan setahun sekali.
Bagaimanapun,  pada tahun 2009 masyarakat dunia dapat menyaksikan rahsia Kaabah  menerusi sebuah klip video yang dimuat naik ke dalam YouTube. Rakaman  video selama lebih empat minit itu didakwa adalah yang pertama  seumpamanya yang boleh ditonton oleh orang ramai.
Sebelum  ini, keadaan di dalam bangunan batu yang terletak di dalam Masjidil  Haram di Mekah itu sekadar digambarkan dan diceritakan dari mulut ke  mulut.
Paparan  di dalam video itu hampir menyamai cerita seorang wartawan dari  Singapura, Ahmad Mohd. Don. Menurut beliau, keadaan di dalam Kaabah itu  gelap. Tidak ada sebarang lampu. Satu-satunya cahaya yang menerangi  bahagian dalam Kaabah itu datangnya dari pintu Kaabah yang terbuka.
“Asap  kemenyan memenuhi ruang dalam Kaabah itu. Lantainya pula dibasahi air  mawar yang mengeluarkan bau semerbak,” kata beliau yang mendapat peluang  memasuki Kaabah semasa menunaikan haji di Mekah pada 8 September 1983  atas undangan khas kerajaan Arab Saudi.

VIDEO selama lebih empat minit ini boleh ditonton di YouTube.
Dinding
Tambah Ahmad, hampir di setiap bahagian dinding Kaabah itu, para undangan menunaikan sembahyang sunat dengan khusyuk.
Mereka  menghadap tiap bahagian dinding Kaabah. Lantai Kaabah dibuat daripada  marmar putih. Begitu juga dindingnya. Pada satu bahagian dinding itu,  kelihatan ukiran ayat-ayat suci.
“Terdapat  beberapa batang tiang di dalam Kaabah. Besar tiang itu kira-kira satu  pemeluk. Pada satu bahagian dinding itu disalut dengan kayu yang  berukiran. Mungkin ukiran ayat-ayat suci al-Quran.
“Terdapat juga para yang di atasnya diletakkan beberapa buah cerek yang kelihatan diperbuat daripada tembaga.
“Tidak  saya ketahui apakah yang ada dalam cerek itu. Berkemungkinan besar ia  berisi air mawar yang digunakan untuk mencuci bahagian dalam Kaabah,”  katanya yang cuma menghabiskan masa selama lapan minit di dalamnya bagi  memberi peluang kepada tetamu lain yang menunggu giliran untuk memasuki  Kaabah.
Pendakwah  bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah menjelaskan bahawa tiada apa-apa  sekatan dari sudut agama untuk membuat rakaman gambar atau video di  dalam Kaabah.
Bahkan,  jelas beliau, undang-udang baharu oleh pihak berkuasa Arab Saudi turut  membenarkan penggunaan kamera di kawasan Masjidil Haram. Sebelum ini  undang-undang negara itu melarang penggunaan alat elektronik tersebut di  kawasan Kaabah.
Tambah  Daud, orang awam berpeluang memasukinya semasa lawatan pemimpin Arab  Saudi mahupun pemimpin negara Islam lain ke Masjidil Haram.
“Pintu  Kaabah akan dibuka semasa lawatan pembesar dan juga ketika hari  pertukaran kain Kaabah menjelang Hari Raya Aidiladha,” katanya kepada  Jurnal.
Daud  turut menyangkal dakwaan dan cerita yang menyatakan orang yang  mendongak ke bumbung Kaabah selepas memasukinya boleh ditimpa musibah.
Menurut  Daud, orang ramai juga boleh melihat replika Kaabah di Muzium Islam  Hudaibiyah, Mekah. Ia menyerupai isi kandungan sebenar di dalam Kaabah  termasuklah tiga batang tiang dan hiasan ayat-ayat al-Quran.

PINTU Kaabah yang seberat lapan tan diperbuat daripada emas tulen.
Kunci
Hanya  terdapat sebuah pintu untuk memasuki Kaabah dan ia dikatakan diperbuat  daripada emas tulen seberat lapan tan (8,000 kilogram).
Pintu  Kaabah itu pula hanya boleh dibuka oleh pemegang kunci dari Bani  Syaibah. Menurut sejarah Islam, apabila Nabi Muhammad SAW meninggalkan  Mekah kerana berhijrah ke Madinah, Mekah dikuasai oleh Bani Syaibah.
Pada  tahun ketujuh Hijrah, berlaku perang pembukaan kota Mekah yang  dimenangi tentera Islam. Berikutan itu, Saidina Ali diarahkan supaya  mengambil kunci itu daripada Bani Syaibah, malangnya pintu Kaabah tidak  dapat dibuka walaupun menggunakan anak kunci yang sama.
Anak  kunci itu kemudian dipulangkan kepada Bani Syaibah atas perintah Allah  menerusi ayat 58, surah An-Nisa’ yang mafhumnya, ‘Sesungguhnya Allah  menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya’.
Pada  masa itu, Bani Syaibah belum memeluk Islam. Tindakan Rasullulah  memulangkan semula kunci Kaabah itu telah membuka hati ketua Bani  Syaibah untuk memeluk Islam diikuti semua pengikutnya.
Keturunan Bani Syaibah telah diamanahkan untuk memegang kunci Kaabah sehingga hari ini 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan