
 أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala    puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat    junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan    pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Kehidupan    di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Setiap manusia di    dunia ini samaada orang kafir, munafik atau muslim semua mereka akan  di   beri keadilan seadil-adilnya di hari akhirat nanti. Manusia boleh   menipu  sesama manusia di dunia ini, tetapi manusia tidak boleh menipu  Allah SWT. Di akhirat setiap orang akan   dibentangkan buku catatannya.  Sekiranya baik maka baiklah yang akan   diterimanya begitu juga jika  buruk maka keburulah juga yang akan diterima.
Di    hari akhirat manusia hanya terdiri daripada 3 golongan sahaja iaitu    kafir, munafik dan muslim. Golongan kafir dan penyembah berhala akan    terus dimasukkan kedalam neraka Jahanam tanpa dihisab. Golongan munafik    akan diberi cahaya (sementara sahaja) kemudian cahaya itu hilang dan   dia  mereba-raba dalam kegelapan. Golongan muslim pula terbahagi kepada   dua  pula iaitu golongan yang akan terus dimasukkan kedalam syurga dan    golongan yang di azab dahulu dineraka kemudian baru dimasukkan kedalam    syurga (syurga yang paling rendah sekali)
Hadis  riwayat   Jabir bin Abdullah radhiyallahu’anhu: Dari Abu Zubair bahawa  ia   mendengar Jabir bin Abdullah radhiyallahu’anhu bertanya tentang    kedatangan di akhirat. Jabir berkata:
"Kita datang pada hari kiamat dari ini dan ini". Lihat (kedatangan itu di atas manusia).
"Kita datang pada hari kiamat dari ini dan ini". Lihat (kedatangan itu di atas manusia).
"Lalu dipanggillah umat manusia dengan berhala dan apa yang dahulu disembahnya secara berurutan".
Sesudah itu, Tuhan mendatangi kita seraya berfirman: 'Siapa yang kalian tunggu?'
Mereka menjawab: 'Kami menunggu Tuhan kami'.
Allah berfirman: 'Akulah Tuhan kalian'.
Mereka berkata: 'Sampai kami melihat-Mu'.
Lalu tampak bagi mereka Tuhan tertawa. (Akhirnya) Dia membawa mereka dan mereka mengikuti-Nya.
Setiap    orang di antara mereka, munafik atau mukmin diberi nur. Mereka terus    mengikuti-Nya. Di atas jambatan Neraka Jahanam terdapat besi-besi    berkait dan berduri, yang merenggut barang siapa yang dikehendaki Allah.
Kemudian nur orang-orang munafik padam, sedangkan orang-orang mukmin tetap bersinar.
Selamatlah rombongan pertama, wajah mereka bagaikan bulan purnama. Mereka berkisar 70.000 (tujuh puluh ribu) orang.
Kemudian orang-orang berikutnya, wajah mereka seperti terangnya bintang-bintang di langit. Demikian seterusnya.
Kemudian    syafaat diizinkan. Mereka pun memintakan syafaat, hingga keluar    orang-orang yang mengucap: 'Laa ilaaha illallah' dari neraka dan    orang-orang yang di hatinya terdapat kebaikan seberat gandum.
Mereka    ditempatkan di halaman syurga, sedangkan ahli syurga memerciki mereka    dengan air, sampai mereka tumbuh bagaikan tumbuhnya sesuatu  (tumbuhan)   di dalam banjir.
Hilanglah hangus tubuh mereka.
Kemudian ia (orang terakhir) meminta Allah memberikannya dunia dan sepuluh kali lipatnya".
(Hadis Sahih Riwayat Muslim No.278)
Huraiannya :
Berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim di atas bahawa di akhirat nanti semua manusia akan digolongkan kepada 3 golongan sahaja.
1. Golongan orang kafir penyembah berhala, ahli kitab dan aties
2. Golongan munafik
3. Golongan muslim.
Huraiannya :
1. Golongan orang kafir penyembah berhala, ahli kitab dan aties.
Firman    Allah SWT maksudnya :"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa    syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu    bagi siapa yang dikehendakiNya, barang siapa yang mempersekutukan Allah,    maka sungguh ia telah berbuat dosa besar"
(Surah An Nisa’ ayat 48).
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Lalu dipanggillah umat manusia dengan berhala dan apa yang dahulu disembahnya secara berurutan".
Orang    kafir para penyembah berhala akan diminta untuk memanggil berhala  yang   mereka sembahkan. Batu berhala yang menjadi sembahan mereka tidak   boleh  berbuat apa-apa kepada manusia yang menjadikan nya sebagai   sembahan.
Orang   musyrikin menjadikan patung berhal  sebagai tuhan-tuhan mereka. Mereka   berdoa kepada Allah, namun  menjadikan berhala-berhala tersebut  sebagai  perantara (wasilah) supaya  boleh  mendekatkan diri mereka  kepada Allah  SWT dan supaya  berhala-berhala tersebut boleh memberikan  syafaat di sisi  Allah.
Sebagaimana disebutkan dalam al-Quran maksudnya:
“    Dan orang-orang yang menjadikan selain Allah sebagai wali-wali    (penolong), (mereka mengatakan) : ‘kami tidaklah menyembah mereka    kecuali supaya mendekatkan diri kami kepada Allah’(Surah az-Zumar ayat3)
“  Dan mereka menyembah selain Allah apa-apa yang tidak   mampu  memudharatkan ataupun memberi manfaat, dan mereka berkata : ‘  Ini   adalah pemberi-pemberi syafaat kami di sisi Allah’ “ (Surah Yunus  ayat   18)
Allah  SWT berfirman maksudnya : "Sesungguhnya   orang-orang kafir yakni ahli  kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk   neraka) ke neraka Jahanam;  mereka kekal didalamnya.Mereka itu adalah   seburuk-buruk makhluk,"  (Surah al-Bayyinah ayat 6).
Adapun    orang-orang kafir dengan berbagai jenisnya, musyrikin, penyembah    berhala, atheis dan yang lainnya, mereka itu akan dimasukkan ke dalam    neraka dan akan dibukakan ketujuh pintu neraka Jahannam bagi mereka.    Sesuai dengan Surah Az-Zumar: 71, firman Allah SWT maksudnya :    "Orang-orang kafir dibawa ke neraka Jahanam berombong-rombongan.    Sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakanlah    pintu-pintunya..."
2. Golongan munafik
Nabi    SAW bersabda maksudnya : "Setiap orang di antara mereka, munafik atau    mukmin diberi nur. Mereka terus mengikuti-Nya. Di atas jembatan  Neraka   Jahanam terdapat besi-besi berkait dan berduri, yang merenggut  barang   siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian nur orang-orang munafik  padam,   sedangkan orang-orang mukmin tetap bersinar."
Golongan munafik sebenarnya adalah golongan kafir tetapi mereka hipokrit (berpura-pura beriman)
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Mereka    (orang munafiq) hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut    (ucapan) mereka. Dan Allah telah menyempurkan cahayaNya, meskipun orang    kafir membenci.”(Surah Asy-Shaf ayat 8)
Di  hari  pembalasan  Allah SWT ada menggambarkan apa yang akan mereka  dapatkan  kerana hasil  usaha mereka di dalam al-Quran yang bermaksud:  "(Ingatlah)  semasa  orang-orang munafik, lelaki dan perempuan (yang  sedang  meraba-raba dalam  gelap-gelita pada hari kiamat), berkata  kepada  orang-orang yang  beriman: "Tunggulah kami, biarlah kami  mengambil  sedikit dari cahaya  kamu".
(Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek): "Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana)",
serta    diadakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu)   sebuah  tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi   rahmat  (syurga dan nikmat), dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat   (neraka)  dan azab seksa.
(Pada  saat itu) mereka (yang  munafik)  menyeru orang-orang yang beriman  (sambil berkata): "Bukankah  kami  bercampur gaul dengan kamu (di dunia  dahulu)?"
Orang-orang    yang beriman menjawab: "Benar! Akan tetapi kamu telah membinasakan   diri  kamu (dengan perbuatan munafik) dan kamu telah menunggu-nunggu    (kebinasaan umat Islam), dan kamu pula ragu-ragu (terhadap    perkara-perkara agama) serta kamu diperdayakan oleh angan-angan kosong    (untuk mencapai maksud kamu), sehinggalah datangnya (maut) yang    ditetapkan oleh Allah (kepada kamu). Dan (selain itu), kamu pula    diperdayakan oleh bisikan syaitan dengan (pengampunan) Allah    (semata-mata dan melupakan azabNya).
"Oleh  itu, pada hari   ini tidak diterima penebus diri dari kamu, dan tidak  juga dari   orang-orang kafir. Tempat tinggal kamu ialah neraka,  nerakalah sahaja   penolong kamu, dan itulah seburuk-buruk tempat  kesudahan kamu! "  
(Surah al-Hadid ayat 13-15)
Firman-Nya    lagi dalam yang bermaksud : “Khabarkan kepada orang-orang yang  munafik   bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih.” (Suran  an-Nisaa ayat   138)
Dalam  hal ini amaran Allah SWT amat jelas dan begitu   tegas. Allah SWT telah  menjanjikan seksaan yang amat pedih sehingga   mereka yang munafik ini  akan di tempatkan dalam hina-dina. Mereka akan   disumbat di dalam  neraka yang paling dalam iaitu Jahanam bersama-sama   orang-orang kafir.
Firman  Allah SWT maksudnya :   “Sesungguhnya orang-orang munafik itu  (ditempatkan) pada tingkatan yang   paling bawah dari neraka. Dan kamu  sekali-kali tidak akan mendapat   seorang penolongpun bagi mereka.”  (Surah an-Nisaa ayat 145)
3. Golongan muslim.
Golongan    muslim terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan yang yang terus    memasuki syurga tanpa hisab dan golongan yang di azab dahulu di neraka    kemudian baru dimasukkan kedalam syurga.
Nabi  SAW bersabda   maksudnya : "Selamatlah rombongan pertama, wajah mereka  bagaikan bulan   purnama. Mereka berkisar 70.000 (tujuh puluh ribu)  orang."
Dari    Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma berkata, Rasulullah SAW  bersabda    maksudnya :  ”Telah diperlihatkan kepadaku ummat-ummat terdahulu, maka    saya melihat ada seorang nabi yang disertai dengan rombongan kecil, ada    seorang nabi yang disertai dengan satu dua orang sahaja, bahkan ada    seorang nabi yang tidak mempunyai pengikut seorang pun.  Kemudian    terlihat olehku satu rombongan besar yang kusangka mereka adalah    ummatku, namun dikatakan kepadaku:  ”Ini adalah Musa dan kaumnya, tetapi    lihatlah ke ufuk sana.”
Kemudian  kulihat ke ufuk itu dan   tiba-tiba kulihat rombongan yang besar,  lantas dikatakan kepadaku:    ”Lihatlah ke ufuk yang lain”; di sana  kulihat satu rombongan besar   kemudian dikatakan kepadaku:  ”Ini adalah  ummatmu dan di dalamnya ada   tujuh puluh ribu orang yang akan masuk  syurga tanpa dihisab dan tanpa   diseksa lebih dahulu.”  (Hadis Riwayat  Bukhari dan Muslim)
Setelah    golongan pertama orang-orang mukmin yang masuk syurga tanpa hisab  berjumlah 70,000 orang   maka masuklah golongan mukmin kedua wajah  mereka terangnya seperti   bintang-bintang dilangit.
Nabi  SAW bersabda maksudnya :   "Kemudian orang-orang berikutnya, wajah  mereka seperti terangnya   bintang-bintang di langit. Demikian  seterusnya."
Seorang    muslim yang ada sedikit imannya kepada Allah SWT (walaupun sebesar  biji   sawi) tetapi banyak melakukan  dosa-dosa besar semasa didunia ini  , di   akhir kematiannya dia tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT  maka dia   akan dimasukkan kedalam neraka. Dia akan mendapat azab yang  amat  dahsyat  sekali kerana seksaan neraka yang paling ringan adalah  apabila   dipakaikan capal neraka otaknya mendidih kerana terlalu  panasnya api   neraka.
Nabi  SAW bersabda maksudnya : "Kemudian syafaat   diizinkan. Mereka pun  memintakan syafaat, hingga keluar orang-orang yang   mengucap: 'Laa  ilaaha illallah' dari neraka dan orang-orang yang di   hatinya terdapat  kebaikan seberat gandum.
Mereka    ditempatkan di halaman syurga, sedangkan ahli syurga memerciki mereka    dengan air, sampai mereka tumbuh bagaikan tumbuhnya sesuatu  (tumbuhan)   di dalam banjir.
Hilanglah hangus tubuh mereka.
Kemudian ia (orang terakhir) meminta Allah memberikannya dunia dan sepuluh kali lipatnya".
Dalam    hadis yang lain yang diriwayatkan dari Abu Said Al Khudri r.a.    bahwasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Allah memasukkan    penghuni syurga ke syurga, Dia memasukkan orang yang di kehendakiNya    dengan rahmat-Nya dan memasukkan penghuni neraka ke neraka, kemudian Dia    berfirman maksudnya : “Lihatlah orang yang kamu sekalian dapati di    dalam hatinya iman seberat biji sawi, maka keluarkanlah ia”.
Kemudian    mereka dikeluarkan dari neraka seperti arang, mereka telah terbakar    maka mereka dilemparkan di sungai hidup (Nahrul hayat), lalu mereka    tumbuh di dalamnya, sebagaimana biji-bijian itu tumbuh di tanah yang    dibawa banjir, tidaklah kamu melihatnya, bagaimana ia tumbuh dengan    kuning emas”.
(Hadis Riwayat Muslim).
Di  atas rahmat   Allah SWT dan syafaat daripada Nabi SAW seorang muslim  yang ada  sedikit  iman dan tidak mensyirikkan Allah SWT masih  berpeluang untuk  memasuki  syurga tetapi terpaksa melalui penyeksaan  yang amat dahsyat di  neraka  dan seharusnya ianya menjadi motivasi  kepada kita minta  dijauhilah  seksaan api neraka.
Dari Aisyah radhiyallahu 'anha bahawa Nabi SAW  pernah berdoa dengan doa ini, iaitu:
اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ النَّارِ وَعَذَابِ النَّارِ وَمِنْ شَرِّ الْغِنَى وَالْفَقْرِ
"ALLAAHUMMA    INNII A'UUDZU BIKA MIN FITNATIN NAAR WA 'ADZAABIN NAAR, WA MIN  SYARRIL   GHINAA WAL FAQR"
(maksudnya : "Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari fitnah neraka dan azab neraka, serta dari keburukan kekayaan dan kefakiran)." (Hadis Riwayat Abu Daud no. 1543. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih)
(maksudnya : "Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari fitnah neraka dan azab neraka, serta dari keburukan kekayaan dan kefakiran)." (Hadis Riwayat Abu Daud no. 1543. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih)
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah    sama-sama kita muhasabah diri kita sempena bulan Ramadan yang penuh    berkat. Banyakkan berdoa, bermunajat dan meminta perlindungan Allah SWT    daripada seksaan api neraka. Semoga Allah SWT memilih kita dikalangan    hamba-hamba-Nya yang akan memasuki syurga tanpa hisab. Perkara paling    penting yang perlu kita jaga adalah iman kita kepada Allah SWT dan    rukun-rukun iman yang enam supaya kita tidak syirik kepada-Nya. Kemudian    kita beramal dengan ajaran Islam dan berakhlak dengan akhlak seorang    mukmin maka kita akan menjadi mukmin yang diredai dan dirahmati Allah  SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan