
Gambar Sulthanul Awliya  Mawlana Syaikh Muhammad Nazim Adil al Haqqani
Pendahuluan
 Masyarakat Melayu atau Nusantara amnya mudah tertipu dengan daayah  tentang siapa itu para sufi dan para waliyullah sehingga banyak ajaran  sesat tersebar dan memburukkan sebarang aliran tasawuf atau tarekat yang  muktabar di alam Melayu. Ini kerana rata-rata sedikitnya pakar rujuk  yang berwibawa baik di universiti mahupun di institusi agama di Negara  ini. 
Daripada pada sedikit itupun mereka tidak dirujuk untuk memberikan  pandangan dan fatwa oleh pihak yang berwajib melainkan kepada orang lain  yang “menyamar” menjadi pakar rujuk itu. Oleh itu , orang awam yang  membaca laporan dan berita negatif tentang orang Sufi mudah percaya  dengan laporan tersebut sehingga mereka memandang serong orang Sufi dan  orang yang bertarekat.
 Akhirnya , intipati dan mahkota ajaran Islam yang  terpendam dalam ajaran tasawuf atau Sufisme itu terus terpendam , tidak  dihargai dan yang parah lagi tidak dapat direalisisakan dalam bentuk  amal dan perbuatan masyarakat Melayu yang semakin rapuh dan ternoda  dengan pelbagai gejala sosial aliran Barat.
 Ahli Sufi dan ciri-cirinya
Secara amnya mereka inilah pencari Tuhan dan berharap untuk bertemu  denganNya dalam perjalanan menuju liqa’ullah . Keikhlasan dan  kesungguhan mereka untuk mengenali diri mereka sendiri dan kemudian  mengenali Allah menjadikan mereka dipanggil sebagai para Salik ( pemula  jalan al-Haqq). Minat dan dorongan mereka dalam banyak hal tidak  didorong oleh sesiapa – mereka hanya mencari kebenaran dan keikhlasan  dalam setiap hal.
Mereka akan mengalami banyak hal dan keadaan yang  pelik yang ditunjuki oleh Allah s.w.t sebagai bukti (bayyinah) bahawa  mereka sedang dalam perjalanan yang diredhai. Bukti-bukti utama  antaranya ialah mereka bermimpi dengan para-para Nabi a.s dan kemudian  para wali qutub . Sampai satu peringkat mereka akan bertemu dengan para  waliyullah yang masih hidup dan mereka akan mula diajar oleh mereka.  Jika usaha dan niat mereka tidak benar pada peringkat ini mereka tidak  ditemukan kepada waliyullah sebaliknya ditemukan dengan para wali  syaitan.
 Pada peringkat ini jika mereka menerima dan mengamalkan ajaran  para wali syaitan ini mereka berakhir dengan menjadi bomoh atau dukun.  Atsar banyak menyatakan bahawa lebih mudah mengenali Allah s.w.t  daripada mengenali waliyullah . Ini benar kerana mereka manusia biasa  yang tidak menunjukkan sebarang kelainan daripada orang lain (dari segi  fizikal dan penampilan luar). 
Jadi, seorang salik yang tulen akan  ditunjuki kebenaran sangkaan dan pandangannya samada melalui pengesahan  oleh Rasulullah s.a.w (biasanya melalui mimpi) atau peristiwa lain yang  membuktikan kewaliyan seseorang itu (contohnya bertemu dengan waliyullah  itu di dalam Kaabah atau melihat waliyullah itu memegang matahari dan  bulan dan sebagainya dalam mimpi). Ini kerana Rasulullah s.a.w , para  anbiya’ a.s , Kaabah, bulan dan matahari tidak boleh ditiru oleh syaitan  dalam mimpi.
Orang Sufi akan memperjalani pengajaran secara ladunni dengan para Nabi a.s (termasuk Nabi Khidr a.s yang masih hidup) dan juga para wali qutub ( contohnya Sh. Abdul Qadir Jilani , Sh. Ibnu Arabi , Sh. Abi Madyan dll) . Biasanya semua ilmu itu akan disahkan dan dihurai dengan lebih terperinci oleh seorang guru mursyid yang masih hidup ( bertaraf waliyullah) . Proses pentarbiyahan ahli Sufi ini termasuklah bai’ah , amalan dan aurad berterusan (contohnya zikir nafas dan zikir huruf) dan banyak lagi amalan yang mendekatkan diri dengan Allah s.w.t setiap waktu .
Kerana salik ini juga perlu bekerja dan berkeluarga , guru mursyid  akan mengajarnya bagaimana membawa zikir nafas sambil kita bercakap  dengan orang atau membuat kerja-kerja harian. Laku yang paling penting  ialah cara melaksanakan solat secara fana’ baqa’ billah . Cara membawa  zikir dan ilmu yang diterapkan hujung jatuhnya zikir tersebut (bukan  saja makna zahir zikir itu) juga amat penting , agar tidak jatuh ke  dalam syirik khafi .
 Penekanan terhadap solat malam hari, solat-solat  sunnat tatawu’ dan lain-lain juga ditekankan. Guru mursyid akan  membimbing mereka cara membaca dan memahami makna-makna, tafsir dan  takwil al Quran termasuk rahsia-rahsia huruf muqotaat , ayat –ayat  mutasyabihat dan lain-lain sehingga jelas dan terbukti Al-Quran itu  adalah mukjizat sepanjang zaman ( contohnya , apabila membaca surah  al-Fatihah dalam solat mereka mendengar Allah s.w.t menjawab bacaan  mereka , atau melihat huruf-huruf yang dibaca itu bangun dan memberi  pelajaran kepada mereka dan sebagainya).
Biasanya cara belajar orang Sufi ini sangat berbeza dengan orang awam  sebab mereka ini dianggap orang khawas. Mungkin satu masa dulu anak  murid guru mursyid ini ramai, tetapi kemudian Allah s.w.t melakukan  ujian tertentu sehingga hanya yang terpilih saja dapat meneruskan  pencarian ilmu yang hak dengan guru mursyid tersebut. Dalam melaksanakan  rukun iman ajaran mereka amat halus dan luar dari kebiasaan contohnya ,  mereka bukan saja percaya kepada para malaikat dan para nabi a.s tetapi  langsung berjumpa dengan mereka ( dalam banyak hal secara yakazah ,  bukan saja dalam mimpi). Mereka akan belajar ilmu-ilmu rahsia tentang  ketuhanan dan rahsia kejadian semua makhluk, contohnya ilmu tentang  Nurmuhammad dan martabat tujoh. 
Sebagai pembuktian , mereka sendiri akan  melihat Kitabul Mubin diturunkan ke hadapan mereka atau menyaksikan  burung Nur Muhammad (dalam catatan Ibn Arabi burung ini dipanggil Anqa’  Mughrib). Pada satu peringkat tertentu mereka akan dibenarkan mengembara  ke alam-alam malakut , alam jabarut dan alam lahut dan dapat  menyaksikan Arsy , Kursy , Sidratul Muntaha dan sebagainya. Banyak  daripada “kemudahan” ini berlaku dalam bulan Ramadhan . Allah s.w.t akan  menghadiahkan nama rahsia , istigfar dan Selawat khas setelah Allah  redha dengan mereka dan diakui sendiri oleh baginda Rasulullah s.a.w  sebagai umatnya yang setia.
Dari segi kebolehan para salik itu , mereka akan menjalani pelbagai  ujian dari guru mursyid mereka melalui laku khalwat , talqin , qiyamul  lail , ujian bertulis dan pelbagai laku yang difikirkan sesuai oleh guru  mereka. Kadang-kadang mereka diminta untuk membantu orang di dalam  kubur atau membantu orang yang diganggu makhluk halus atau memindahkan  perkampungan jin dan sebagainya.
 Walaupun mereka biasa boleh mengubat  secara islami masalah seperti santau , saka dan sebagainya , mereka  tidak pernah menjadikan ini aktiviti utama dan mereka akan mengelak dari  banyak menghabiskan masa dengan kerja seperti ini kerana takut menjadi  terkenal atau lalai daripada membuat kerja-kerja amal lain yang  diperuntukan .
Ciri lain ahli Sufi ialah mereka mementingkan hal-hal akhirat lebih  dari hal duniawi. Jika diberi pilihan mereka akan memilih hal ukhrawi ,  keilmuwan dan peringatan atau nasihat daripada perkara lain. Kesihatan  dan pembaikan roh lebih diutamakan daripada kesihatan jasad dan  penampilan diri luar. Mereka rajin dan tekun membuat kerja harian bukan  sebab mengejar dunia tetapi sebab ingin mendapat redha majikan dan Allah  s.w.t dalam mendapatkan rezeki yang halal.
 Mereka tidak mengeluh sebab  mereka tahu itu syirik khafi . Mereka tahu membersihkan jiwa mereka  melalui zikir pembersihan semua lathaif selain daripada melakukan  muhasabah diri selalu. Setiap tibanya waktu solat merupakan waktu yang  bahagia kerana terdorong oleh cinta , kasih dan rindu yang tersangat  kepada Maha Pencipta dan Kekasih Hati. Mereka berinteraksi dengan  manusia bukan dengan penumpuan jasadi malah secara ruhi i.e iaitu mereka  boleh berbicara dengan ruh-ruh ( baik manusia yang hidup mahupun yang  mati).
 Nasihat mereka akan membuat manusia menangis secara meraung dan  menyesali diri . Mereka berbicara dengan hikmah. Orang yang kasyaf akan  dapat melihat apa yang tertulis pada lidah-lidah dan badan ahli Sufi ini  , melainkan jika ahli Sufi itu menutupi rahsia dirinya dengan kalimah  tertentu. Pada pandangan luar mereka kelihatan sama dengan orang lain ,  tetapi kerohanian mereka sentiasa dengan Al –Haqq.
“Cinta adalah rasa yang begitu indah namun sekaligus mematikan!  Ketika jiwa telah ditemukan oleh Cinta Sang Pemilik, maka semua adalah  Satu!”
Quthbul Ghawts Mawlana Shaykh Muhammad Hisham Kabbani Ar Rabbani
Orang Sufi dan orang awam 
Orang awam yang dikalangan mereka terdapat orang Sufi sangat beruntung. Mungkin yang membaca doa dan menjadi naqib dalam suatu majlis tahlil di rumah atau di surau orang biasa dan doanya tidak terangkat , tetapi disebabkan oleh kehadiran Sufi tadi (lemungkinan besar tanpa disedari ramai) doa mereka semua terangkat –ini kerana cara orang Sufi menempatkan permohonan dan cara mengaminkan doa itu seperti yang dikehendaki Allah s.w.t ( biasanya dia kena lulus ujian doa dari gurunya yang mursyid – criteria lulus ini agak ketat seperti tiang Arsy mesti bergegar , 4 malaikat utama mesti turun , 6 perkara mesti dibawa dalam doa dan banyak lagi).
Orang awam yang dikalangan mereka terdapat orang Sufi sangat beruntung. Mungkin yang membaca doa dan menjadi naqib dalam suatu majlis tahlil di rumah atau di surau orang biasa dan doanya tidak terangkat , tetapi disebabkan oleh kehadiran Sufi tadi (lemungkinan besar tanpa disedari ramai) doa mereka semua terangkat –ini kerana cara orang Sufi menempatkan permohonan dan cara mengaminkan doa itu seperti yang dikehendaki Allah s.w.t ( biasanya dia kena lulus ujian doa dari gurunya yang mursyid – criteria lulus ini agak ketat seperti tiang Arsy mesti bergegar , 4 malaikat utama mesti turun , 6 perkara mesti dibawa dalam doa dan banyak lagi).
Orang Sufi kalau ke mana pun berjalan dia akan  berjumpa para Sufi dan waliyullah yang lain sebab mereka saling mengenal  (roh mengenal roh). Oleh itu orang Sufi tak sunyi daripada urusan  “belajar dan mengajar” di mana pun mereka berada. Walaupun mereka tak  dikenali dan biasanya tidak menonjol dalam masyarakat yang jelas mereka  boleh mengubati orang lain –seperti mementang syihir , memindahkan  penempatan jin , mengeluarkan santau dan menghapuskan saka dan lain-lain  . Tapi , masyarakat biasanya tak sedar kehadiran mereka sebab mereka  sibuk dengan urusan diri mereka sendiri .Jika mereka menziarahi kubur  mereka mengucapkan “ assalamuala ahli Lailahaillallah min ahli  Lailahaillallah” . Mereka dapat memasukan “cahaya” kepada si-mayat  dengan bacaan Fatihah mereka kerana mereka mengetahui kedudukan Fatihah  dalam jasad si-mayat. Tahlil mereka begitu sempurna sehingga berkat  bacaan mereka itu si-mayat terlepas dari soalan dan siksaan kubur.
 Para Sufi sebetulnya adalah pemula atau salik dalam jalan kewaliyan.  Itu sebab tarekat mereka kadang-kadang tak bernama tetapi jika diberi  nama lebih tepat dinamakan tarekat kenabian. Ini kerana mereka dipimpin  oleh para nabi (salah satu dari yang 25 atau kadang-kadang lebih dari  satu ). Ini adalah perjalanan para nabi a.s seperti yang dihurai oleh  Ibn Arabi dalam kitab Fusus al –Hikam. Biasanya mereka juga bertemu dan  belajar dengan Nabi Khidr a.s (dan mungkin juga Nabi Iliyas a.s). Selain  daripada para nabi a.s mereka juga akan belajar dari salah seorang atau  keempat-empat sahabat Rasulullah s.a.w yang utama dan (atau) dengan  empat malaikat yang utama .
Disebabkan mereka ada nama rahsia yang diberikan oleh Allah s.w.t ,  mereka dikenali di langit dengan nama itu – dan jika mereka gunakan nama  itu ketika berdepan dengan para makhluk yang jahat , makhluk jahat dan  halus itu akan tunduk. Mereka sentiasa duduk dalam cinta , kasih dan  rindu kepada Allah s.w.t dan doa mereka adalah “ Wahai Allah ,  jadikanlah kami hamba-hamba kebaikan bukan hamba-hamba ujian”. Kerana  ini mereka tidak diuji seperti manusia lain – sebaliknya mereka diberi  tugas, kebanyakannya tugas berat. Jika mereka melalui kuburan , mungkin  mereka akan terpanggil untuk mendoakan para mayat yang tersiksa.
 Bila  mereka memberi salam kepada ahli kubur dengan salam “ Assalamuala ahli  Lailahaillalahu min ahli Lailahaillallah” maka para ahli kubur akan  bangun menjawab mereka , sebaliknya yang tidak dapat berbuat demikian  pastinya adalah kumpulan yang sedang disiksa oleh malaikat Mungkar dan  Nankir.
Jika ahli Sufi ini berada dipanggil untuk bertahlil, dia dapat  menghadirkan si-orang yang ditahlilkan itu dan mengetahui keadaannnya.  Begitu juga, beruntunglah orang yang mengajak ahli Sufi ini untuk hadir  dalam majlis pernikahan sebab ahli Sufi ini akan menghadirkan Jibrail  (dan 3 malaikat lain) untuk menjadi saksi – dia akan dapat mengesahkan  sama ada nikah itu sah atau tidak dari perkara yang ditajallikan oleh  Allah s.w.t contohnya seperti melihat pena melakar bulatan dengan  ditutup dengan titik tengah atau dokumen dimasukkan dalam peti berkunci (  boleh dengar bunyi kunci tersebut) dan sebagainya.
Jalan Menuju Makrifatullah
Jalan menuju makrifatullah penuh liku dan perangkap samar- takkan  lepas seorang salik tanpa bimbingan gurunya yang mursyid dan tanpa  hidayah dan inayah Allah s.w.t. Bagi orang Sufi , mereka dicintai oleh  Allah dan dikehendaki oleh Allah baru mereka mencintai dan menhendaki  Allah. Mereka beriltizam sesungguhnya untuk menemui Allah s.w.t semenjak  kecil lagi dan Allah s.w.t akan membuka jalan untuk mereka dalam waktu  tertentu seperti pada umur 20an, 30an atau 40an.
 Bagi yang diredhai  Allah s.w.t mereka melalui jalan singkat dan tidak berliku – ini kerana  pemerhatian mereka yang tuntas terhadap perbuatan (af’al) Allah , lalu  mereka redha dan mempunyai adab terhadap Allah , lalu Allah s.w.t  mengangkat mereka. 
Contohnya sebagai permulaan , Allah s.w.t menjadikan  mereka tempat berkumpul barang-barang peninggalan para waliyullah ,  kemudian juga barang-barang pelik dari seluruh dunia dan kemudian  barang-barang peninggalan sahabat r.a dan Rasulullah s.a.w. Tetapi ,  salik ini tidak bangga malah dia terus bersyukur sebab dia tahu ini  adalah hadiah (tanda) dari Kekasihnya.
Kesimpulan
Menjadi satu paradoks moden bahawa di Barat semakin ramai Islamologis  yang mengkaji tentang Sufi dan Kesufian (Sufisme) sedangkan di Timur  dan di kalangan sarjana Muslim sendiri bukan saja Sufi itu dicemuh malah  terdapat banyak usaha untuk menjatuhkan imej Sufisme (mahkota dan  intipati islam ) itu sendiri , sedangkan Islam yang sebarkan ke  Nusantara , India dan ke Timur amnya semuanya disebarkan oleh para ahli  da’i Sufi dan penyebar tarekat . 
Fenomena “kacang lupakan kulit” ini  memanglah diatur dan dirancang oleh pihak tertentu agar kebangkitan  Ummah tidak berlaku , agar Islam termaktub dalam lingkungan masjid dan  ia tidak sampai ke sistem pendidikan , perbankan atau sistem-sistem  lain. 
Pada hari ini , Negara yang mendokong Sufi seperti Chechnya akan  dapat bertahan dari serangan dan penaklukan kuasa asing sedangkan dimana  ia diremehkan dan ditinggalkan , negara itu akan menderita dan punah  disebabkan oleh kuasa asing seperti Iraq dan Palestin.
 Sekian, sedikit sebanyak  yang ingin saya sampaikan secara ringkas tentang siapa itu ahli Sufi. Wallahu a’lam bissawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan