KANGAR - Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam memutuskan mayat warga  emas berketurunan Melayu dikenali Selimah Mat dikebumikan mengikut  amalan Buddha selepas mendapati si mati tidak lagi mengamalkan ajaran  Islam selepas berkahwin sejak 62 tahun lalu. Mengikut laporan, Selimah,  78, adalah berketurunan Melayu berdasarkan identiti pada kad  pengenalannya yang beragama Islam. Identitinya itu dikesan apabila anak  lelakinya, Aisok a/l Elan, membuat laporan polis mengenai kematian  ibunya di Balai Polis Mata Ayer, dekat sini, 12 Jun lalu. Selimah dari  Kampung Panggas, Chuping, dekat sini dikatakan dibawa lari ke Thailand  dan berkahwin dengan seorang lelaki Thai berketurunan Buddha dikenali  sebagai Elan ketika berusia 16 tahun serta menetap di negara jiran.
  Bagaimanapun, si mati dikatakan pulang semula ke kampung halaman  suaminya di Kampung Guar Musang, di sini dengan membawa pulang seorang  anak perempuan berusia tiga tahun pada 1954 lalu. Pasangan itu mempunyai  dua anak iaitu Aisok, 53 dan seorang perempuan berusia 58 tahun.
  Hakim Mahkamah Syariah, Zaini Abdul Rahim, menyatakan mahkamah berpuas  hati dengan keterangan daripada pihak Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips)  berhubung status si mati yang sudah tidak mengamalkan ajaran Islam dan  membenarkan pengebumian mayat wanita itu dilakukan mengikut amalan  Buddha.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan