|  | 
|        Azlina Che Abdullah (kiri) bermesra dengan peserta Bengkel Korporat Muslimah 2010 sambil diperhatikan Mohd. Rais Alias.  | 
  DALAM Islam, antara dua ibadat yang sangat dititikberatkan iaitu; solat  dan zakat. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang  bermaksud: Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk. Solat ialah berhubungkait soal peribadi individu itu dengan Allah (hablun minallah) manakala zakat ialah hubungan dengan sesama manusia (hablun minannas).
  Topik kewajipan mengeluarkan zakat bukanlah asing bagi setiap daripada  kita. Ini diukur menerusi jumlah kutipan zakat setiap tahun yang  meningkat dari semasa ke semasa, sekali gus membuktikan kesedaran telah  mula ada dalam setiap individu Islam dan syarikat korporat. Apatah lagi  kewajipan ini telah ditegaskan dalam surah at-Taubah ayat 103.
  Kalau sedekad yang lalu, orang kurang mengetahui tentang kewajipan  mengeluarkan zakat daripada pendapatan atau gaji yang diperoleh setiap  bulan, tetapi kini dengan promosi agresif agensi-agensi berautoriti  berkaitan zakat serta penyediaan pelbagai kaedah pembayaran, telah  membolehkan mereka yang layak hanya melaksanakannya di waktu dan tempat  tanpa perlu lagi pergi ke kaunter-kaunter pungutan zakat.
   Selaras dengan perkembangan ekonomi dan peningkatan jumlah usahawan  wanita yang berpotensi menjadi pembayar zakat, Pusat Pengutan Zakat,  Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengadakan Bengkel  Korporat Muslimah 2010 awal November lalu.
  Bengkel setengah hari itu, menyentuh topik 'Perspektif Zakat Niaga & Emas'  dengan tema Kilauan Firdausi telah membawa tiga pembentang iaitu;  Pengurus Kanan Operasi Runcit Habib Jewels, Mohd. Zaruddin Mahmud yang  mengupas tajuk 'Pengenalan Emas dan Perkembangannya di Malaysia'.
   Panel kedua ialah Pengasas & Pengarah Urusan D'Navechee Beauty (M)  Sdn. Bhd., Datuk Azlina Che Abdullah, yang membicarakan tajuk, 'Usahawan dan Perniagaan: Zakat Dilaksanakan'  serta pembentang yang tidak perlu diperkenalkan, penceramah bebas dan  perunding motivasi, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dengan tajuk, 'Zakat dan Perhiasan'.
   Pengurus Besar PPZ-MAIWP, Mohd. Rais Alias dalam ucapan perasmian  berkata, wanita dan emas diibaratkan seperti irama dan lagu yang tidak  dapat dipisahkan, ia begitu sinonim dengan kaum wanita. Begitu juga  wanita dalam sektor perniagaan.
   Maka, katanya, tidak hairanlah wanita masa kini dilihat mampu membantu  meningkatkan ekonomi negara, khususnya dalam bidang keusahawanan.
   Menurut beliau, jika dahulu orang mengatakan tempat wanita layaknya di  dapur tetapi kini segalanya sudah berubah. Malah lebih membanggakan  wanita mampu bersaing setanding dengan kaum lelaki.
  "Namun, keghairahan usahawan wanita dalam meningkatkan ekonomi negara  menjadikan mereka lupa bahawa sebenarnya mereka juga perlu menunaikan  tanggungjawab berzakat.
   "Atas dasar tanggungjawab itulah menyebabkan PPZ-MAIWP terpanggil  mengadakan bengkel pagi ini, sekali gus memberi kesedaran kepada  usahawan wanita kita," kata Mohd. Rais di hadapan hampir 200 peserta  bengkel tersebut.
  Sementara itu, dalam kertas kerjanya, Mohd. Zaruddin berkongsi maklumat  mengenai perkembangan emas di Malaysia. Katanya, emas telah menjadi  sebahagian daripada kaum wanita. Namun, sejak akhir-akhir ini, kaum  lelaki juga mula berjinak-jinak dengan logam emas. Bukan untuk dipakai  tetapi untuk pelaburan.
  "Disebabkan nilai yang ada pada emas itulah maka ia amat berharga. Emas  tidak terlalu terpengaruh dengan keadaan inflasi dan deflasi. Maka  secara tidak langsung, orang gunakan emas sebagai alternatif menyimpan  harta yang ada.
   "Selain itu, emas juga menjadi menjadi simbol kekayaan dan kuasa. Emas  juga boleh disimpan dalam bentuk nilai walau dalam keadaan ekonomi tidak  menentu," katanya.
  Terangnya lagi, trend semakin berubah iaitu daripada emas kuning kepada  emas putih dan kini yang semakin diminati iaitu Rose Gold (emas yang  berwarna ros). Perubahan cita rasa ini dikesan sejak tahun lepas. Pun  begitu emas dengan reka corak sauh masih lagi diminati atau evergreen sampai sekarang.
   Menyentuh perkembangan emas di Malaysia, sejak kebelakangan ini, ramai  masyarakat tidak kira bangsa dan agama berlumba-lumba membeli emas  sebagai satu alternatif untuk pelaburan.
  "Ketika ekonomi negara merudum iaitu pada tahun 1997 dan 1998 dan dua  tahun lepas, harga emas tidak jatuh tapi terus naik. "Meskipun, emas  dianggap sebagai penyelamat semasa keadaan ekonomi tidak menentu. Namun,  untuk tujuan pelaburan, seseorang itu kena bijak tentang selok-belok  pelaburan emas," jelasnya.
   Akui Mohd. Zaruddin, satu perkembangan yang sihat berlaku di mana kaum  wanita sekarang ini semakin lama semakin bijak. Ini kerana mereka bukan  sahaja membeli emas sebagai perhiasan tetapi sebagai pelaburan.
  "Bagi saya, kita tidak perlu menunggu sehingga harga emas turun barulah  merancang untuk membeli emas tetapi boleh bermula daripada sekarang.
   "Malah, kita boleh mulakan dengan menggantikan duit simpanan atau duit  hari raya anak-anak dengan membeli barangan kemas mereka.
  "Cara ini secara tidak langsung, mendidik anak melabur secara bijak  berbanding wang yang diperoleh dibeli telefon bimbit dan sebagainya,"  ujarnya.
   Pada pagi itu juga, jutawan tanah air, Datuk Azlina Che Abdullah  berkongsi beberapa rahsia kejayaan yang bermula dengan menjual  kuih-muih, kemudian menjadi guru, kerani, setiausaha dan akhirnya,  bergelar jutawan.
   "Dulu saya memang penggemar emas sehingga pernah diperli oleh suami  tetapi apabila saya jatuh tahun 1996, barang kemas itulah yang menjadi  modal untuk meneruskan kesinambungan peniagaan.
  "Adat orang berniaga, ada ketikanya mengalami naik turun di dalam  perniagaan. Tetapi dengan melaksanakan kewajipan berzakat, banyak  bersedekah, bersih hati serta ikhlas kerana Allah dalam setiap  perbuatan, maka keberkatan rezeki itu memang sukar dinafikan," jelasnya.
   Dahulu, kata Azlina, hati beliau selalu berkata, hendak bayar zakat  nanti tunggu kaya dahulu. Apabila sudah kaya, masih tidak bayar dengan  alasan sibuk.
  "Saya tidak salahkan orang lain kerana pada masa itu saya jahil, saya  ingatkan dengan membayar zakat sendiri kepada fakir miskin itu sudah  mencukupi tetapi lama-kelamaan saya sedar yang selama ini, saya tidak  melakukannya secara betul," akui Azlina apabila mula membayar zakat  secara betul bermula tahun 2004, rezekinya terus bertambah.
   Cerita wanita gigih ini lagi, ibunya seorang ibu tunggal dahulunya  adalah seorang penerima zakat. Bermula daripada saat itulah, beliau  sentiasa berdoa dan meminta Allah SWT memudahkannya agar dapat menaikkan  martabat ibu yang juga tulang belakang mereka anak-beranak.
  Salah satu ayat yang sentiasa menjadi pemangkin semangat kepadanya,  kata Azlina ialah sepotong ayat daripada surah ar-Rad ayat 11 yang  bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib yang ada pada diri mereka sendiri.
   Begitu juga dalam surah al-Insyirah ayat 5 dan 6 yang bermaksud: Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan