image source
 Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Dan Dialah Tuhan yang menjadikan  malam untuk kamu sebagai pakaian dan menjadikan tidur untuk berhenti  rehat serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.” (al-Furqaan :  47)
  Terjemahan ayat di atas menjelaskan bahawa tubuh badan manusia  mempunyai sistemnya yang tersendiri yang dikenali sebagai pusingan  biologi atau biological rhythm. Sistem inilah menyebabkan kita mengantuk  dan kurang bertenaga pada waktu malam dan cergas pada waktu siang. Ia  dikawal oleh hormon-hormon. Justeru itu, kita perlu memahami cara sistem  ini bekerja dan bijak memanfaatkannya.
  Memahami Fisiologi Pusingan Biologi
  Pada waktu malam, badan manusia melalui kelenjar pineal, akan  mengeluarkan sejenis hormon yang bernama melatonin. Hormon ini  mempengaruhi bahagian otak yang dikenali sebagai hipotalamus dan ia  menyebabkan kita tidur. Kadar melatonin berada pada tahap optimum dalam  darah pada jam 1.30 pagi hingga 2.00 pagi semasa tidur. Selepas itu,  kadarnya menurun dan ia berada pada tahap paling rendah apabila bangun  daripada tidur pada jam 6.00 pagi.
  Pada waktu siang pula, hormon kortisol mempengaruhi kita semasa kita  aktif melakukan pelbagai aktiviti. Hormon ini berfungsi melajukan  jantung dan pernafasan pada waktu siang. Hormon kortisol juga dikenali  sebagai hormon stres kerana ia berada pada tahap paling tinggi apabila  individu mengalami tekanan.
  Daripada sudut pusingan biologi, waktu yang dianggap paling produktif  adalah antara jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Sebaiknya kita  melakukan kerja-kerja utama dalam hidup kita pada waktu ini. Selepas itu  di antara waktu tengah hari dan awal petang, tubuh kita akan menjadi  lesu dan lemah. Para saintis menamakan fasa ini sebagai a secondary  sleep gate. Justeru itu, tidurlah sekejap pada waktu ini jika mempunyai  kesempatan.
  David F.Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka Sleep and  Alertness : Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping  menggalakkan kita tidur pada waktu tengah hari. Kajian menunjukkan  mereka yang secara rutin tidur selama 30 minit pada waktu tengah hari  mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menghidap penyakit jantung  berbanding orang lain. Di sudut agama, tidur sekejap pada waktu tengah  hari dikenali sebagai qailulah dan ia pernah dilakukan oleh Nabi SAW.
  Selepas itu, kita akan memasuki fasa produktif yang kedua antara jam  8.30 malam hingga 10.30 malam. Gunakanlah waktu ini untuk membaca dan  merancang aktiviti sebelum berehat untuk tidur.
  Tidur sebagai Ibadah
  Tidur adalah ibadah. Ia perlu dijaga dan dimanfaatkan bagi melaksanakan  pelbagai ibadah. Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan  Muslim ada menitikberatkan soal tidur sebagai ibadah yang diterjemahkan  seperti yang berikut:
  “Apabila seseorang kamu mengantuk ketika hendak bersolat maka hendaklah dia tidur sampai dia tahu apa yang dibacanya.”
  Semasa tidur sel-sel di dalam badan melalui proses pemulihan yang mana  badan manusia akan mengeluarkan hormon pertumbuhan yang berfungsi  memperbaiki sel-sel yang rosak Justeru itu mengambil minuman yang  mengandungi kafein sebelum tidur boleh mengganggu proses ini dan  menambahkan keletihan pada waktu siang.
  Penyimpanan maklumat jangka panjang di dalam otak juga berlaku semasa  tidur. Mereka yang suka tidur lewat boleh mengganggu proses penyimpanan  maklumat ini. Menurut Penolong Profesor Carla B. Green dari Pusat Sains  Kebangsaan untuk Pusingan Biologi, mengulangkaji pelajaran hingga lewat  malam boleh menjejaskan pusingan biologi individu dan menjejaskan fungsi  otak bagi mengingati semula maklumat yang dibaca.
  Tidur dapat memantapkan sistem darah dan jantung. Menurut Dr. Tom  Mackay, seorang pakar penyakit-penyakit system pernafasan di Pusat Tidur  Kebangsaan, Edinburgh Royal Infirmary, Scotland merumuskan, kurang  tidur akan menyebabkan beberapa perubahan kimia berlaku dalam badan.  Keadaan ini meningkatkan risiko individu menghidap penyakit kencing  manis, jantung dan strok.
  Tidur juga memantapkan sistem pertahanan badan. Kajian menunjukkan  individu yang tidur 3 hingga 4 jam sehari kurang daripada kadar biasa  mudah mengalami tekanan dan stres. Ini akan melemahkan sistem pertahanan  badan dan menjadikannya mudah dijangkiti kuman. Berapakah jumlah jam  yang diperlukan untuk tidur secara optimum pada waktu malam? Keperluan  tidur individu berbeza dengan individu yang lain. Mereka yang tidur 6  hingga 7 jam secara purata setiap malam adalah lebih sihat dan hidup  lebih lama daripada mereka yang tidur lebih dari 8 jam atau kurang 4  jam.
  Sunah Nabi dan Pusingan Biologi
Secara tidak langsung, Nabi SAW mengambil kira kehendak pusingan  biologi apabila baginda menyuruh para sahabat melayani keperluan badan.  Baginda sendiri melayani hak dan keperluan jasmani bertujuan menyihatkan  diri sebagai persiapan untuk beribadah. Pernah pada suatu masa, ada di  kalangan para sahabat yang tidak mahu tidur dan tidak mahu berkahwin.  Ada pula sahabat yang berazam untuk berpuasa secara berterusan.
  Lantaran perkara ini, maka Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Demi  Allah, akulah manusia yang paling takutkan Allah dan paling bertakwa  kepada-Nya tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku bersolat dan tidur dan  aku juga berkahwin. Sesiapa yang tidak mengikut sunnahku ini, dia tidak  termasuk dalam golonganku.” Hadis ini dijelaskan oleh Bukhari dan  Muslim. Nabi SAW juga pernah melakukan qailulah atau istilah para  saintis hari ini iaitu a secondary sleep gate. Ini kerana di antara  waktu tengah hari dan awal petang badan manusia menjadi lemah dan lesu.  Maka dengan tidur sekejap itu akan dapat mengembalikan kesegaran tubuh  badan kita.
  Penutup
  Jasad boleh dikiaskan seperti sebuah kederaan yang sentiasa dipacu oleh  manusia. Bagi mencapai kejayaan, manusia perlu menyelenggara  kenderaannya dengan baik supaya ia dapat dinaiki demi mencapai  cita-cita. Justeru, pastikan kita bangun awal setiap pagi untuk  bersembahyang Subuh, sebaik-baiknya secara berjemaah dan jika  berkesempatan tidurlah sekejap (lebih kurang 20 minit) pada waktu tengah  hari.
Sumber: Jakim 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan