Buasir merupakan kusyen vaskular yang bertindak sebagai penghadang setiap kali membuang air besar.
Ia akan menutup dubur secara menyeluruh dengan lembut bagi mengelakkan kebocoran najis ataupun  cecair.
Ia merupakan komponen normal dalam anatomi manusia.
Masalah timbul apabila berlaku pembengkakan pada kusyen vaskular  akibat  tekanan atau stres yang diberikan pada rektum berikutan aktiviti  meneran. 
Keadaan ini akan mengakibatkan pesakit berasa kurang selesa.
Faktor yang menyebabkan buasir atau hemoroid membengkak masih tidak jelas dan berbeza mengikut pesakit.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa ia berpunca daripada peneranan  melampau ketika membuang air besar, pemakanan  yang tidak sihat, kurang  bersenam, faktor usia yang melemahkan tisu dan semasa  mengandung ekoran  perubahan hormon.
Sakit
Simptom utama penghidap buasir adalah pendarahan pada hujung proses  membuang air besar yang boleh dilihat pada najis, kadangkala menitik dan  juga ketika mencuci. 
Selain itu, pesakit  akan merasakan terdapat lebihan isi atau kulit  yang tersembul di luar lubang dubur yang mendatangkan rasa kurang  selesa, gatal dan sakit. Tetapi tidak semua pesakit buasir akan berasa  sakit.
Menurut Pakar Bedah Kolorektal, Pusat Perubatan Prince Court, Prof.  Dr. Yunus Gul Alif Gul, ramai pesakit yang tidak mengendahkan untuk  mendapat rawatan.
“Apa yang membimbangkan adalah simptom buasir menyamai simptom kanser  kolorektal atau gabungan kolon dan rektum iaitu pendarahan.
“Namun, pendarahan bagi pesakit kanser kebiasaannya keluar bersama najis dan kadangkala diselangi dengan lendir,” katanya. 
Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai masalah pendarahan ketika  membuang air besar, seelok-eloknya  berjumpa doktor bagi menentukan  masalah sebenar.
Apabila pesakit sudah mendapat diagnosis buasir, doktor akan memberi  nasihat supaya menukar diet dan juga gaya hidup seperti tidak terlalu   meneran semasa membuang air besar, mengurangkan pengambilan daging  merah, memperbanyakkan pengambilan serat dan buah-buahan serta minum  banyak air.
Bagaimanapun, menurut Yunus, gaya hidup masyarakat kini seperti  pelajar di asrama dan suami isteri yang bekerja  cenderung membeli  makanan di luar.
“Pengambilan makanan segera ataupun makanan yang telah diproses juga boleh mendatangkan kemudaratan. 
“Seeloknya pastikan makanan yang hendak dibeli itu segar dan berkhasiat.
“Mereka yang gemar membaca di dalam bilik air juga boleh mendapat  buasir  kerana mereka berada dalam kedudukan duduk atau mencangkung yang  secara tidak langsung melibatkan peneranan walaupun proses pembuangan  najis telah selesai.
“Ia secara tidak langsung memberikan tekanan  pada rektum menyebabkan tisu-tisu yang menyokong menjadi lemah,” ujarnya.
Ramai pesakit memilih perubatan tradisional bagi mengubati buasir ekoran  malu berjumpa  doktor dan takut menjalani pembedahan.
Ramai yang lebih suka  untuk bertanya kepada rakan-rakan, ahli  farmasi ataupun pengamal perubatan tradisional mengenai ubat-ubatan yang  sesuai  berbanding mendapat rundingan doktor.
Alternatif
Yunus memberitahu, tiada salahnya bagi pesakit untuk mencuba  perubatan tradisional seperti pengambilan herba asalkan mereka tahu  penyakit mereka berada di tahap mana.
“Jika buasir  berada di tahap satu atau dua, tiada salahnya mereka  mencuba perubatan alternatif kerana tahap ini boleh diubati dengan  pengambilan ubat sahaja.
|  | 
| PEMBEDAHAN dapat memulihkan masalah buasir.  | 
“Namun, jika sudah kritikal, mereka tiada pilihan kecuali melakukan pembedahan  membuang buasir tersebut,” katanya.
Mungkin ramai yang memilih  perubatan alternatif kerana takut menjalani pembedahan yang dikatakan amat menyakitkan.
Bagaimanapun, teknologi baru membolehkan  pembedahan dilakukan tanpa  kesakitan melampau  dan  pulih dalam masa yang sangat singkat.
Ini termasuk ligasi pita getah menggunakan satu atau dua pita getah  yang kecil yang akan diikat di sekitar dasar buasir dalaman untuk  menghentikan pengedaran darah. 
Dalam masa beberapa hari, buasir itu akan tertanggal sendiri tanpa rasa sakit.
Kaedah Ligasi Arteri Buasir (HAL) pula menggunakan alat ultrabunyi  Doppler yang dimasukkan ke dalam anus untuk mengenal pasti lokasi  sebenar arteri yang membekalkan darah. 
Oleh kerana jahitan tidak dilakukan di dalam anus sebaliknya di hujung rektum, ia mengurangkan kesakitan.
Manakala Longo atau Procedure for Prolapse and Haemorrhoids (PPH)  merupakan antara kaedah terbaru yang menggunakan sejenis alat seperti  stapler.
Prosedur ini mengambil masa hanya 20 minit dan tiada luka yang perlu dirawat selepas prosedur dijalankan.
Sumber: Kosmo
... Lagi Artikal tentang  Buasir Klik disini 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan